SHAH ALAM – Pengukuhan ringgit berbanding dolar AS dijangka berterusan dalam jangka pendek hingga sederhana, didorong oleh beberapa faktor luaran dan domestik.
Timbalan Dekan (Pembangunan) Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya Dr Goh Lim Thye berkata langkah baru-baru ini oleh Rizab Persekutuan AS menurunkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas kepada julat 4.75 hingga 5 peratus melemahkan daya tarikan pelaburan dolar AS.
“Pengurangan ini, tindak balas kepada tekanan ekonomi domestik di AS, mendorong pelabur mencari pasaran lain yang menawarkan pulangan lebih baik, seperti Malaysia.
“Ini meningkatkan permintaan terhadap ringgit dan menyokong pengukuhannya.
“Di dalam negeri, ekonomi Malaysia menunjukkan prestasi memberangsangkan. Pada suku kedua 2024 (April-Jun), ekonomi berkembang 5.9 peratus berbanding tahun sebelumnya, meningkat daripada 4.2 peratus pada suku sebelumnya,” katanya kepada Sinar ketika dihubungi.
Menurut Goh, ini mencerminkan pemulihan ekonomi yang kukuh dan peningkatan aktiviti ekonomi, didorong oleh pembaharuan di bawah Ekonomi Madani.
“Manifesto ini mengukuhkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan asing.
“Pelaburan yang diluluskan meningkat 18 peratus kepada RM160 bilion pada separuh pertama 2024, mewujudkan lebih 79,000 peluang pekerjaan baharu yang menyokong nilai ringgit,” katanya.
Beliau menyatakan pengukuhan yuan China, memandangkan China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia, turut menyumbang kepada kekuatan ringgit.
“Yuan mencapai paras paling kukuh selepas Beijing melaksanakan langkah rangsangan untuk menyokong ekonominya yang perlahan.
“Ini bukan sahaja meningkatkan perdagangan Malaysia tetapi juga mengukuhkan daya saing eksport Malaysia di pasaran antarabangsa, sekali gus menyokong ringgit,” tambahnya.
Dari perspektif makroekonomi, Goh menegaskan gabungan dolar AS yang semakin lemah akibat pemotongan kadar faedah, peningkatan Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke Malaysia, dan pengukuhan yuan dijangka terus menyokong nilai ringgit.
“Ini menunjukkan bahawa ringgit akan kekal kukuh dalam tempoh terdekat kerana pelabur terus mencari peluang di Malaysia, terutamanya dengan kestabilan politik yang dipupuk oleh dasar,” katanya.
Cerminan Kestabilan Makroekonomi
Goh menekankan bahawa walaupun banyak negara menghadapi kegawatan ekonomi akibat inflasi yang tinggi, kenaikan kadar faedah dan cabaran geopolitik, Malaysia mengekalkan pertumbuhan yang mampan, seperti yang dilihat dalam pertumbuhan KDNK 5.9 peratus pada suku kedua 2024.
“Pengukuhan ringgit mencerminkan keyakinan pasaran global terhadap keupayaan Malaysia menangani cabaran global ini.
“Lebih penting lagi, ia menunjukkan asas ekonomi yang kukuh, kestabilan politik dan dasar yang memberi tumpuan kepada pembangunan jangka panjang dan kemampanan.
“Ini juga memberi isyarat kepada pelabur antarabangsa bahawa Malaysia adalah destinasi pelaburan yang stabil dan menguntungkan, terutamanya apabila negara lain bergelut dengan ketidaktentuan ekonomi,” katanya.
Beliau menekankan bahawa strategi ekonomi di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menunjukkan kejayaan awal yang menjanjikan, terutamanya dengan peningkatan ketara dalam pelaburan yang diluluskan.
Walaupun tidak semua pelaburan ini akan segera diterjemahkan kepada aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI), Goh menyatakan bahawa ia mencerminkan keyakinan yang kukuh terhadap prospek ekonomi Malaysia.
“Kejayaan strategi Ekonomi Madani, yang menekankan pembaharuan fiskal, pengurusan belanjawan yang berhemat, dan tumpuan kepada pembangunan infrastruktur, telah mewujudkan kestabilan politik dan ekonomi yang mengukuhkan keyakinan pelabur asing.
“Walaupun kejayaan awal ini terbukti, cabaran seterusnya ialah memastikan semua pelaburan yang diluluskan diterjemahkan kepada aliran masuk sebenar dan memberikan manfaat jangka panjang kepada ekonomi tempatan,” katanya.
Goh juga menggesa pembuat dasar untuk terus mengukuhkan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan.
“Penurunan Malaysia ke tempat ke-34 dalam laporan daya saing global IMD menyerlahkan laluan yang mencabar di hadapan.
“Laporan itu mengenal pasti lima cabaran utama: melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk meningkatkan daya tahan perniagaan, meningkatkan produktiviti buruh, mengemas kini dasar dan peraturan untuk bersaing di peringkat global, mengguna pakai teknologi termaju untuk mempercepatkan pertumbuhan produktiviti, dan mengurangkan kos yang meningkat melalui peningkatan produktiviti.
“Melangkah ke hadapan, strategi Ekonomi Madani mesti menangani cabaran ini untuk memastikan Malaysia berdaya saing di peringkat global dan menarik lebih banyak pelaburan yang akan memberi kesan positif kepada ekonomi,” katanya.
Sumber : Sinar Harian