Pengguna TNG eWallet kini boleh mengitar semula minyak masak (UCO – used cooking oil) terpakai dan menerima bayaran terus ke eWallet mereka melalui kerjasama dengan Arus Oil.
Kerjasama ini bertujuan untuk menggalakkan kelestarian dengan menjadikan sisa sebagai sumber, sambil mengurangkan pencemaran alam sekitar.
Arus Oil, yang telah mengumpul 1,000 tan UCO sejak 2017, sedang memperkemas proses kitar semula melalui TNG eWallet.
Pengguna boleh menjual UCO mereka kepada Arus Oil melalui TNG eWallet dengan hanya klik pada ikon Arus Oil dalam aplikasi TnG, membuat janji temu dan memberikan butiran yang diperlukan bersama-sama dengan foto UCO.
Arus Oil kemudiannya akan mengatur pengambilan yang mudah, dengan keperluan pengumpulan minimum 5 kg.
Setelah dikumpulkan, pembayaran dikreditkan terus ke ewallet TnG pengguna.
Pada masa ini, servis ini hanya terdapat di Lembah Klang, dan perkhidmatan ini akan berkembang merangkumi wilayah utara dan Malaysia Timur.
Semasa kempen dari 9 hingga 23 September 2024, pengguna yang mengitar semula UCO di kemudahan Arus Oil Subang Jaya melalui aplikasi akan menerima kadar istimewa RM3 sekilogram.
Alan Ni, Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, berkata,
“Dengan inisiatif ini, kami menggalakkan rakyat Malaysia mengitar semula minyak masak terpakai mereka, memperoleh ganjaran, dan memberi impak positif kepada alam sekitar melalui platform kami.
Perkongsian dengan Arus Oil ini mewakili satu langkah penting ke arah masa depan yang lebih hijau dan lebih mampan untuk semua.”
Syazwan Majid, Ketua Pegawai Eksekutif, berkata,
(CEO Arus Oil – Syazwan Majid)
“Perkongsian dengan eWallet No. 1 di Malaysia ini sejajar dengan misi kami untuk membawa Malaysia ke arah masa depan yang lebih hijau dengan menjadikan sisa sebagai sumber.
Dengan memudahkan kitar semula UCO melalui platform tanpa tunai, kami memperkasakan rakyat Malaysia untuk menyumbang secara langsung kepada pemeliharaan alam sekitar tenaga boleh diperbaharui sambil memperoleh ganjaran.”