Sikap ekstremis PAS berulang dan tidak pernah berhenti. Kenyataan terbaru oleh Presiden parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan menggelar parti politik lawan, Barisan Nasional (BN) sebagai lebih ‘dajal daripada dajal’ boleh mewujudkan satu lagi perpecahan orang Islam seperti yang berlaku pada 1980-an dahulu. Kenyataan itu dikeluarkan semalam di lama sosial media rasmi pemimpin itu selepas Perikatan Nasional (PN) tewas pada PRK Nenggiri.
Untuk rekod, Amanat Haji Hadi sejak 40 tahun dahulu yang telah menjatuhkan hukum mengkafirkan sesama Islam telah menyebabkan perpecahan dahsyat yang mendalam dalam kalangan masyarakat Islam Melayu khususnya di Terengganu dan pantai Timur. Kesannya telah menyebabkan suami isteri berpisah, ada yang terpaksa diakad nikah semula, keluarga terputus sillaturahim, sembahyang dua imam berlaku dan masyarakat pulau memulau satu antara lain. Satu lagi kesan yang serius adalah melibatkan kematian iaitu ketika berlaku rusuhan Memali, ada pihak tertentu telah mengistiharkan penyokong PAS yang terkorban mati syahid kerana dipengaruhi amanat tersebut, namun ditolak oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan mengarahkan mayat mereka yang terkorban dimandikan. Insiden Memali tahun 1985 adalah di antara pengaruh hasil doktrin Amanat Haji Hadi pada 1981 di Banggol Peradong.
Politik sebegini sepatutnya tidak berulang dan hendaklah diharamkan supaya tidak dijadikan ikutan generasi baharu masyarakat Malaysia.
Dalam kenyataan itu, Abdul Hadi mendakwa parti kerajaan masih menggunakan politik bohong, politik wang dan kebendaan yang menyebabkan keruntuhan UMNO. Seterusnya, membawa pula penyakit itu ke dalam masyarakat Melayu yang beragama Islam menjadikan mereka mangsa rasuah politik yang merosakkan agama dan bangsa.
Abdul Hadi juga mendakwa kerajaan sekarang menindas pembangkang dengan menafikan peruntukan kewangan yang diwajibkan mengikut agama dan amalan demokrasi.
“Mereka telah mengambil cukai daripada semua rakyat termasuk pembangkang. Maka, terbukti mereka lebih daripada dajal yang tidak memungut cukai,” katanya dalam siaran sosial media.
Bagi umat Islam, umumnya mengetahui perihal dajal menerusi hadis-hadis Rasulullah SAW sebagai lambang kekufuran dan kefasikan yang mengelirukan umat manusia. Ia menguji serta merosakkan keimanan mereka dengan pembohongan dan kejahatan sebelum akhirnya dibunuh oleh Nabi Isa di akhir zaman sebelum kiamat.
Adalah tidak wajar dipalitkan sesama muslim yang bersaing secara sihat di arena demokrasi Malaysia.
Inilah bahaya apabila agama digunakan sebagai senjata politik. ia boleh mengelirukan rakyat terutama kepada mereka yang tidak terdedah dan kurang pelajaran. Sepatutnya setiap umat Islam harus menghiasi dan memakmurkan politik demokrasi Malaysia dengan akhlak Islam dengan menjunjung peringatan Allah SWT, bukan memusuhi sesama Islam dengan ketara walaupun berbeza pendapat.