spot_img
spot_img

Faktor calon dan jentera berikan kemenangan pada #budakAwie

spot_img

Kota Bharu 18 Ogos: Kemenangan gabungan parti komponen Kerajaan Madani di DUN Nenggiri semalam, dari Barisan Nasional (BN), merupakan suatu strategi taktikal yang telah dilaksanakan dengan baik oleh seluruh jentera parti terutamanya UMNO.

Sebaliknya bagi PN, mereka telah memilih langkah taktikal dan gerak kerja yang membawa kepada kekalahan. Paling ketara ialah PN meletakkan calon yang ‘melompat parti sendiri’. Ia dilihat sebagai taktikal yang tidak bijak dan kelemahan Bersatu yang ketiadaan calon berkaliber yang sepatutnya meletakkan calon mereka sendiri.

PN meletakkan Mohd. Rizwadi Ismail yang merupakan ahli PAS yang memegang jawatan Timbalan Ketua Pemuda PAS kawasan itu, tetapi dipaksa menukar parti hanya untuk menjadi calon PRK kepada parti Bersatu. Mohd Rizwadi juga telah mengeluarkan kenyataan sebelum PRK, bahawa dirinya juga tidak berminat untuk menjadi calon, tetapi telah dipujuk oleh pimpinan PAS – satu lagi faktor menyebabkan para pengundi tempatan tidak yakin bahawa calon PN itu akan berkhidmat dengan baik bagi rakyat tempatan.

- Advertisement -

Tambahan pula, pilihanraya Nenggiri diadakan kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri sebelum ini, Mohd Azizi Abu Naim dari Bersatu telah memberikan sokongan kepada kerajaan. Ia merupakan tindakan melompat parti bagi pandangan rakyat biasa, dan calon PN kali ini juga ‘dilompatkan’ dari PAS ke Bersatu oleh gabungan PN sendiri. Ini merupakan antara faktor, “calon yang salah” yang membawa kepada kekalahan PN.

(Calon PN Mohd Rizwadi)

- Advertisement -

Dapatan Berita Tular di lapangan Nenggiri semasa tempoh berkempen, calon PN tersebut tidak begitu dikenali dan tidak aktif dengan masyarakat tempatan dengan meluas berbanding lawannya Azmawi Fikri Abdul Ghani dari UMNO. Mohd Azizi dikatakan hanya popular di kalangan jemaah di masjid, manakala Azmawi yang dikenali sebagai Awie dengan hashtag mesra pengundi – #budakAwie, sangat aktif, rapat, menaja acara-acara belia serta menyumbang kepada masyarakat di Nenggiri dan Gua Musang, terutamanya golongan belia. Awie yang merupakan ahli Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan, berperanan menyalurkan dan membina 70% daripada kemudahan yang diperuntukkan untuk Gua Musang.

Awie yang mewakili gabungan kerajaan menang majoriti selesa 3,352 undi dengan keseluruhan 9,091 undi manakala Rizwadi hanya memperoleh 5,739 undi.

Disamping faktor kelemahan calon lawan, taktikal BN juga telah nampak berubah dan agresif dalam diam. Mereka tidak menggunakan pentas-pentas ceramah seperti PAS dalam berkempen. Tetapi mereka bergerak mendekati para pengundi dari rumah ke rumah.

(Awie bersama Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal dan jentera pemuda UMNO di PRK Nenggiri)

Yang menariknya, gerakan itu tidak melibatkan pemimpin-pemimpin besar seperti kelaziman yang akan turun berkempen dan dibawa oleh para jentera. Tetapi jentera BN telah membahagikan tugas mereka mengikut zon-zon kawasan dan melakukan susulan secara peribadi dengan pengundi.

BN juga tidak menggunakan pendekatan ‘cercaan’ dalam melawan pihak PN, berbanding dengan PN yang politiknya lebih menyerang peribadi Zahid Presiden UMNO dan sangat ekstrem dari penceramah PAS seperti menggelar orang bukan Islam Malaysia terutamanya DAP sebagai kafir harbi – tuduhan yang berat, di mana ia kelihatan agak keras dan telah tular di sosial media.

BN sebagai parti gabungan dalam kerajaan juga bijak membawa politik pembangunan dengan segera. Mereka membuktikan dengan pemasangan mesin ATM pada 15 Ogos lalu di sebuah pasar mini di Kampung Jerek, Gua Musang, yang memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 kepada penduduk tempatan. Sebelum ini penduduk di Nenggiri terpaksa berjalan sejauh 50km ke bandar Gua Musang untuk mengeluarkan wang daripada ATM. Satu masalah utama rakyat moden diselesaikan segera sebelum pilihanraya. Ia memberikan sokongan positif dan rasa berterima kasih daripada penduduk tempatan kepada parti kerajaan.

Kemudian ditambah dengan feel good factor daripada kerajaan persekutuan pada Jumaat lalu yang mengumumkan skim kenaikan gaji untuk penjawat awam. Pastinya anak perantau Nenggiri atau pengundi Nenggiri yang berkhidmat di sektor itu akan menerima manfaatnya.

Disamping itu, tindakan PN menggunakan pemimpin recycle dan dibuang dari UMNO Annuar Musa juga telah memakan diri. Ia menunjukkan PN terutamanya Bersatu tidak mempunyai ketokohan serta kepimpinan di dalam PRK ini.

(Tindakan bekas menteri UMNO Annuar Musa yang kini merupakan AJK PAS Pusat, begitu aktif memburukkan parti lamanya, tidak memberikan penerimaan yang baik kepada PN oleh pengundi di Nenggiri)

Semasa berkempen, Annuar bukan sahaja tampil sombong dengan mengeluarkan kata seperti “ikut aku la pitih aku”, setelah tular yang dirinya suka mempamerkan kekayaan, juga antara sebab ditolak pengundi tempatan. Annuar dikenali di Kelantan sebagai orang dan menteri dari UMNO yang begitu lama memegang jawatan di kerajaan Pusat dari Kelantan, tetapi kali ini begitu aktif mengkritik UMNO. Para pengundi memberi reaksi yang kurang selesa dan dapat merasakan ia lebih kepada dendam kerana Annuar juga telah menikmati manfaat-manfaat dari UMNO sebelum dibuang. Jadi keputusan Bersatu untuk mengitar semula pemimpin seperti Annuar dalam memimpin jentera PRK mereka telah memberi impak yang negatif.

Bersatu juga memperkecilkan akar umbi mereka. Tindakan ahli-ahli bahagian dan ketua cawangan yang keluar parti dianggap tidak memberi kesan kepada PN kerana bergantung harap kepada PAS yang mempunyai sokongan cukup untuk memenangkan calon Bersatu di Nenggiri. Namun, perpecahan serta boikot antara akar umbi Bersatu dan PAS di kawasan itu, disebabkan pemilihan calon, turut menyumbang kepada kekalahan PN.

Sebelum ini, walaupun PN tewas dalam PRK seperti di Pulai dan Simpang Jeram, PN berjaya meningkatkan atau mengekalkan peratusan undi mereka. Namun, keadaan sebaliknya berlaku di Nenggiri.

Berdasarkan keputusan rasmi, peratusan undi PN di kerusi tersebut merosot daripada 53.3 peratus tahun lalu kepada 38.7 peratus. Peningkatan kehadiran pengundi dan keputusan di pusat daerah mengundi (PDM) juga menunjukkan terdapat peralihan undi kepada BN.

Berbanding pilihan raya negeri tahun lalu, PRK kali ini hanya terdapat penambahan 40 pengundi berdaftar. Namun, kadar keluar mengundi kali ini jauh lebih tinggi iaitu 73.9 peratus berbanding 61 peratus tahun lalu.

Peratusan undi BN juga meningkat kepada 61.3 peratus berbanding 46.7 peratus, manakala jumlah undi yang diterima juga meningkat 3,384 undi kepada 9,091 undi.

Ini dapat dilihat berdasarkan keputusan di PDM, di mana BN menang 17 daripada 20 PDM, berbanding hanya tujuh PDM tahun lalu. Meskipun tewas di PDM Ladang SEDC, Kesedar Limau Kasturi dan Pasir Tumboh, BN berjaya mengurangkan majoriti PN daripada tiga angka di setiap PDM kepada dua angka.

 

 

Foto : Bernama

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img