spot_img
spot_img

Expo TVET pertama kali akan diadakan pada PAU 2024

spot_img

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 ming­gu depan membawa kelainan dengan penganjuran Eksplorasi Kerjaya bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasio­nal (TVET).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penganjuran karnival berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen UMNO yang mempelopori agenda TVET negara.

“Buat kali pertama dalam sejarah tanah air, TVET ini diarusperdanakan dengan suatu dasar TVET yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jun lalu.

- Advertisement -

“Dasar TVET amat mustahak untuk kita menguar-uarkan secara besar-besaran kerana ia adalah agenda penting bagi anak-anak muda,” katanya dalam sidang akhbar sempena PAU 2024 di Menara Dato Onn, di sini, semalam.

PAU 2024 bermula dari 21 Ogos hingga 24 Ogos ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Menurut Asyraf, Eksplorasi Kerjaya TVET juga bertujuan memastikan tiada anak muda terpinggir dan tercicir da­ripada arus pendidikan.

- Advertisement -

Katanya, karnival berkenaan memfokuskan empat elemen utama iaitu pameran teknologi dan kerjaya, pameran kisah kejayaan ikon TVET, ‘Talk Show Ikon TVET’ dan konsultasi percuma berhubung latihan-latihan yang boleh diceburi.

Terdapat sembilan sektor TVET yang akan mengadakan pameran antaranya kluster teknologi automotif, penerba­ngan, maklumat, pembuatan termaju, rel, perladangan mo­den, pertanian dan penternakan, pembinaan serta perkhidmatan.

Sementara itu, beliau berkata, perhimpunan kali ini lebih memfokuskan kepada soal kebajikan dan kesejahte­raan rakyat.

‘’Saya rasa lambat lagi kita adakan pemilihan. Biasanya orang UMNO ini selagi bukan tahun pemilihan dia tidak membicarakan soal ini.

‘’Bagus juga sebenarnya dari segi bahagian-bahagian, saya rasa yang timbulkan satu bahagian dan bahagian-bahagian lain tidak timbulkan (isu ini).

‘’Tradisinya begitulah dalam UMNO ini dan seperti yang saya katakan bagusnya dan positif­nya kerana kebanyakan baha­gian memfokuskan soal kebajikan dan kesejahteraan rakyat,’’ katanya.

Asyraf berkata, PAU kali ini menjadi medan untuk bermuhasabah selain terbuka untuk mengkritik secara konstruktif kepemimpinan menteri, timbalan menteri, pengerusi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), agensi dan lain-lain.

“Ini kerana sama ada ia efektif dan berkesan dalam memanfaatkan keberadaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan untuk rakyat atau sebaliknya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau ber­kata, jumlah keseluruhan perwakilan UMNO meningkat kepada 6,433 orang dalam PAU 2024 dari 21 hingga 24 Ogos ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Katanya, jumlah itu mening­kat sebanyak 2,939 perwakilan berikutan tambahan ketua penerangan yang dijadikan per­wakilan automatik bagi bahagian-bahagian sebagaimana pindaan kepada perlembagaan dan peraturan mesyuarat dalam sesi yang lepas.

“Ahli perwakilan bagi Wa­nita UMNO adalah seramai 1,171 orang manakala perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO seramai 1,173 orang. Bagi perwakilan Puteri UMNO pula seramai 1,150 orang yang akan hadir.

“Acara PAU 2024 akan dimulai dengan Taklimat Presiden pada Rabu, 21 Ogos pukul 3 petang di Dewan Merdeka secara tertutup tetapi selepas taklimat diadakan sidang akhbar,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, persi­dangan kali ini turut memfo­kuskan isu ekonomi dan masa depan untuk orang Melayu serta bumiputera.

“Banyak agenda yang seiring dengan apa yang diputuskan oleh PAU yang lepas. Contoh­nya Ekonomi Gig melibatkan 1.4 juta anak muda yang menyumbang kepada tercicirnya daripada arus pendidikan dan perdana.

“Ini termasuk juga agenda lain seperti dasar tahfiz negara dan halal,” katanya.

 

 

Sumber – UTUSAN

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img