PETALING JAYA: Maimunah Sharif dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur, berkuat kuasa esok.
Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenankan pelantikan Maimunah di bawah subseksyen 4(2) Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.
“Saya percaya dengan pelantikan ini, Maimunah akan terus membawa pengalaman dan sumbangannya untuk menerajui Dewan Bandaraya (DBKL) dengan berintegriti, memastikan kelestarian pembangunan, kecemerlangan dan kemakmuran berterusan ke arah Kuala Lumpur yang progresif dan sejahtera,” katanya.
Maimunah, yang merupakan bekas Datuk Bandar Pulau Pinang dan Yang Dipertua Majlis Bandaraya Seberang Perai, menggantikan Kamarulzaman Mat Salleh, yang penggalnya berakhir hari ini.
Maimunah mempunyai pengalaman selama 39 tahun dalam perancangan bandar dan penjanaan semula bandar, telah memainkan peranan penting dalam kepimpinan UN-Habitat dalam pembangunan bandar yang mampan.
Wanita yang berusia 63 tahun itu berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dalam Perancangan Bandar dari Universiti Wales dan Universiti Sains Malaysia.
Maimunah juga telah dilantik sebagai pengerusi bersama pasukan petugas setiausaha agung mengenai bandar-bandar masa depan dan pengerusi bersama Gabungan Tempatan 2030 dan kini berkhidmat sebagai penasihat Majlis Antarabangsa untuk Inisiatif Alam Sekitar Tempatan.
Beliau juga telah memenangi beberapa anugerah, termasuk diiktiraf sebagai Perancang Bandar Terbaik Malaysia oleh kementerian perumahan dan kerajaan tempatan.