Pembunuhan Ismail Haniyeh, Ketua Biro Politik Hamas, yang berlaku minggu lalu di sebuah rumah perlindungan Tehran telah mendedahkan kelemahan kritikal dalam sistem pertahanan Iran.
Haniyeh dibunuh oleh peluru berpandu jarak pendek yang dilancarkan dari luar kediamannya, menurut Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC). Ia bukan roket dari luar Iran.
IRGC menyalahkan Israel atas serangan itu dan menyatakan bahawa Israel akan menerima “hukuman berat”. Baru-baru ini Iran pernah melancarkan serangan roket ke Israel, namun ia mudah dipatahkan oleh sistem pertahanan Zionis, Iron Doom serta tidak berlaku sebarang kemusnahan langsung kepada negara Israel.
Amerika Syarikat (AS) yang turut dituduh menyokong serangan itu, tetapi Setiausaha Negara, Anthony Blinken menafikan sebarang penglibatan.
Pembunuhan itu berlaku beberapa jam selepas komander tertinggi Hezbollah, Fuad Shukr, dibunuh dalam serangan udara Israel di Beirut.
Kedua-dua kejadian itu dijangka meningkatkan ketegangan di Asia Barat.
Iran dijangka mungkin membalas serangan tersebut, terutama selepas insiden pembunuhan Haniyeh yang melanggar kedaulatan Iran.
Sesuatu yang pasti, pembunuhan itu menyerlahkan kelemahan utama dalam sistem pertahanan Iran.
Iran menghadapi kekangan dalam kemampuan ketenteraan konvensional akibat sekatan-sekatan ekonomi dan perbelanjaan ketenteraan yang terhad.
Pada tahun 2022, perbelanjaan bagi pertahanan Iran hanya AS$6.85 bilion iaitu 2.59 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Iran.
Iran juga tidak mendapat kerjasama serta sokongan pertahanan dari negara-negara Arab sekeliling. Ia bertindak solo. Hanya berharap kepada pasukan gerila seperti Houthi atau pejuang kebebasan di sekitarnya.
Keterbatasan ini ditunjukkan dengan ketidakmampuan Iran untuk melindungi tokoh penting seperti Haniyeh daripada serangan luar.
Iran juga masih bergantung kepada teknologi ketenteraan lama, seperti misil Scud-B yang diperolehi dari Korea Utara.
Walaupun negara itu telah membuat beberapa kemajuan dalam pembangunan teknologi misil domestik, namun, masih ketinggalan berbanding negara-negara lain dalam rantau yang mempunyai akses kepada teknologi ketenteraan yang lebih maju.
Ini menjadikan Iran rentan terhadap serangan yang lebih canggih dan terancang.
Negara itu juga memiliki kemampuan udara yang terbatas dan bergantung kepada sistem pertahanan udara yang terintegrasi untuk mengimbangi kekurangan dalam `superioriti’ udara.
Sistem seperti Sevom-e-Khordad, walaupun canggih hanya mampu bertindak dalam jarak dan ketinggian tertentu, menjadikannya rentan terhadap serangan yang lebih kompleks dari musuh yang memiliki kekuatan udara yang lebih unggul.
Strategi Iran yang bergantung kepada serangan asimetri dan penggunaan proksi (aktor bukan negara) seperti Hizbullah dan Houthi di Yaman menunjukkan ketidakmampuan mereka untuk menghadapi musuh secara langsung dengan kekuatan yang setara.
Ini menunjukkan kelemahan dalam menghadapi ancaman langsung dari kuasa besar seperti AS dan Israel.
Pembunuhan Haniyeh menonjolkan kelemahan serius dalam sistem pertahanan Iran dan memberi isyarat kepada dunia tentang kerentanan negara tersebut terhadap serangan luar yang terancang dan berteknologi tinggi.
Ini juga menunjukkan walaupun Iran telah mengambil langkah-langkah untuk memperkuat pertahanannya, masih terdapat kelemahan yang ketara yang boleh dieksploitasi oleh musuh-musuhnya.