spot_img
spot_img

Kekal berpolitik pilih kerajaan semasa PRU

spot_img

KERAJAAN Perpaduan hari ini sudah berusia kira-kira 20 bulan sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022. Pentadbiran yang ada wujud atas persetujuan beberapa parti selepas tiada satu parti berjaya meraih majoriti mutlak.

Sepanjang tempoh 20 bulan sudah banyak kali rakyat mendengar mengenai perubahan kerajaan. Suara-suara akan ada perubahan tidak pernah berhenti. Ketika ini timbul sekali lagi suara ada pemimpin-pemimpin parti-parti politik sudah mula bertemu di belakang tabir terutamanya Pas dan UMNO yang mewakili kaum terbesar di Malaysia, orang Melayu.

Kilang gosip politik tidak pernah berhenti. Mungkin ada parti yang tidak senang dengan hanya menjadi pembangkang. Dan mungkin ada dalam kerajaan tidak senang dengan pakatan sedia ada.

- Advertisement -

Mungkin juga ada yang lebih bercita-cita besar. Kerusi di Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra sentiasa menjadi idaman mereka yang bercita-cita besar.

20 bulan untuk sebuah kerajaan adalah tempoh yang singkat. Kita sudah menyaksikan perubahan di bangunan utama di Putrajaya itu seperti ular bertukar kulit.

Malaysia sudah mempunyai lima perdana menteri dalam tempoh enam tahun, terima kasih kepada sistem demokrasi tanpa parti majoriti.

- Advertisement -

Sistem demokrasi menjadi tebusan kepada kepada perdagangan atau trading kerusi. Perundangan yang menghalang ‘lompat parti’ berjaya tetapi tidak sepenuhnya. Ahli Parlimen boleh memilih menyatakan sokongan mengikut kepentingan peribadi dan bukan kepentngan pengundi yang memilih mereka atau parti yang mencadangkan mereka. Mungkin mereka ada kepentingan perniagaan atau isu lain yang menyebabkan kiblat sering berubah.

Untuk orang biasa implikasinya lebih besar daripada suara-suara ‘pak ahli politik’ yang dalam tempoh 16 bulan lagi akan menikmati pencen. Ada antaranya seperti tidak pernah dilihat di Dewan Rakyat tetapi dapat status se­perti Yang Berhormat. Mungkin harus ditukar kepada Yang Tidak Berkhidmat.

Sejauh mana perbincangan mengenai politik, implikasi lebih besar adalah kepada rakyat dan negara. Negara tidak wujud tanpa rakyat. Rakyat tidak dapat hidup dengan rasa bangga tanpa negara yang ‘bermakna.’

Sejak isu 1MDB tercetus sekitar 2016 yang menggegarkan teras ekonomi dan politik negara, ditambah dengan pandemik koronavirus, Malaysia terus ketinggalan. Kira-kira lebih enam tahun sejarah negara berlalu atau lebih tepat dibazirkan.

Jika benar ada pakatan yang mahu mengubah status quo sekarang, siapa akan menjadi perdana menteri seterusnya? Lihat kepada semua pemimpin Melayu yang ada sekarang, siapa yang mampu menerajui negara? Mungkin mereka hanya layak diletakkan gambar pada tin sardin.

Memang mudah mengaku: “Saya boleh dan saya mampu.” Seperti di dunia korporat, ramai merasakan dia boleh menjadi CEO (ketua pegawai eksekutif). Adakah mereka cukup berbakat terutama organ di antara dua telinga yang mampu menerajui sebuah negara?

Ia bukan hanya mengenai menjadi perdana menteri tetapi keupayaan menjadi gam dan merapatkan sebuah negara yang penuh dengan perbezaan. Ayam tidak mungkin menjadi musang sekuat mana dia berusaha.

Anda cuma perlu melihat di sekeliling dan mencari siapa yang mampu dalam kalangan pemimpin politik sedia ada jika perubahan benar-benar mahu dilakukan. Anda mungkin suka atau membenci kerajaan sedia ada, tetapi pilihan seterusnya mungkin lebih menakutkan.

Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img