TUMPAT (14 Julai): Kerajaan menganggarkan lebih RM250 juta kebocoran diesel telah dihalang daripada penyeludupan atau penyelewengan di stesen minyak di sepanjang sempadan Semenanjung Malaysia sejak langkah subsidi bersasar dilaksanakan pada 10 Jun lalu.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, menyatakan jualan diesel menurun sebanyak 23% atau 6.5 juta liter sehari, manakala jualan diesel komersial meningkat sebanyak 4.8 juta liter sehari.
Jelasnya, apabila harga subsidi di stesen minyak adalah RM2.15 seliter, industri berusaha mendapatkan diesel daripada stesen minyak dan bukannya membeli diesel komersial pada harga melebihi RM3 seliter.
“Kini, dengan harga stesen minyak ditetapkan pada RM3.35 seliter, industri telah beralih kepada membeli diesel komersial,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Pengkalan Kubor pada hari Ahad.
“Stesen minyak berhampiran sempadan utara juga mengalami penurunan jualan sebanyak 40 hingga 50%, menunjukkan penurunan aktiviti penyeludupan ke negara jiran berikutan pengurangan margin keuntungan bagi penyeludup,” tambahnya.
Amir Hamzah menegaskan bahawa agensi kerajaan akan mengekalkan penguatkuasaan yang ketat terhadap kebocoran diesel dan menyeru orang ramai membantu pihak berkuasa dalam memerangi penyelewengan dan penyeludupan diesel dengan melaporkan sebarang aktiviti sedemikian.
Rosli Hamid 42, pemandu lori berkata kerajaan harus memastikan penjimatan itu dirasai oleh rakyat. “Jangan hanya disebut diberita akan nilai penjimatan besar tetapi kami di bawah tak merasa apa-apa manfaat. Harga barang untuk kehidupan mahal dan sebagainya”, tambah Rosli yang mengakui langkah subsidi bersasar itu sangat baik kepada mereka yang betul-betul layak, cuma bimbang kerajaan tidak menyalurkan semula penjimatan itu kepada kemudahan rakyat.
Pelaksanaan subsidi diesel yang disasarkan dijangka menjimatkan RM4 bilion negara setiap tahun, sekali gus mengukuhkan kedudukan kewangannya dalam jangka panjang.