Parlimen, 24 Jun — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menjelaskan Umno berpendirian untuk bersama dengan Perdana Menteri berhubung pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang melibatkan BlackRock.
Zahid, yang juga presiden Umno, berkata kenyataan timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan yang mahu perjanjian saham itu tidak diteruskan kerana bukannya keputusan kolektif kabinet, hanyalah pandangan peribadinya, bukan pendirian parti. Timbalan Presiden Umno itu juga berkata, para menteri dari parti Umno tidak bersetuju dengan urusniaga tersebut.
“Pendirian Umno adalah jelas, ia sama dengan perdana menteri. Pendapat yang diberikan Tok Mat semalam adalah pendapat peribadinya. “Saya jumpa dia semalam dan dia jelaskan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, merujuk kepada Mohamad.
Walaupun tentangan berkenaan pengambilalihan itu memuncak, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pihak, khususnya pembangkang, supaya tidak mempolitikkan perjanjian itu, dan walaupun setiap orang mempunyai hak untuk tidak bersetuju dengan kerajaan, mereka tidak seharusnya menjejaskan usahanya dalam membangkitkan isu berkaitan Gaza.
GIP merupakan suatu anak syarikat BlackRock ialah pelabur infrastruktur terkemuka yang menguruskan aset AS$112 bilion (RM527.5 bilion) bagi pihak para pelaburnya, yang terdiri daripada kira-kira 500 pelabur institusi besar di seluruh dunia.
Bersama dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan Malaysia iaitu Khazanah Nasional melalui anak syarikat milik penuhnya UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) — GIP membentuk konsortium dipanggil Gateway Development Alliance (GDA).
GDA dan pemegang sahamnya pada 15 Mei 2024 mengumumkan tawaran sukarela pra-syarat untuk memperoleh semua saham dalam MAHB yang belum dimiliki oleh Konsortium, pada harga tawaran RM11.00 sesaham yang bersamaan dengan RM18.4 bilion.
GIP dimiliki oleh BlackRock, dilaporkan sebagai pengurus aset terbesar di dunia dengan pelaburan besar secara langsung di negara Zionis Israel. Antara syarikat yang dilaburkan dana ialah Lockheed Martin, RTX, Northrop Grumman, Boeing, dan General Dynamics — firma yang didakwa mengeluarkan senjata dan kenderaan yang digunakan dalam kempen ketenteraan serta pencerobohan kejam Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.
GIP sejak itu mengulangi bahawa BlackRock Inc tidak terlibat secara langsung dalam apa-apa urus niaga yang berkaitan dengan penswastaan MAHB.