KUALA LUMPUR: Negara perlu mula memikirkan untuk pendanaan dan pembiayaan untuk ekonomi penjagaan kesihatan bagi mewujudkan peluang pekerjaan masa depan kepada rakyat Malaysia, kata Timbalan Menteri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong.
Beliau berkata, ini adalah sebahagian daripada masalah yang dihadapi dalam ekonomi China apabila mencapai pertumbuhan yang tinggi dalam teknologi, namun tidak mewujudkan ekonomi penjagaan.
“Saya ada pergi kilang berteknologi tinggi di China dan mereka menunjukkan mesin yang mana lima tahun lalu perlu dioperasikan oleh 80 pekerja tetapi kini hanya perlu 40 pekerja sahaja. Selainnya telah dibuat secara automasi.
“Jadi, China tidak mewujudkan ekonomi penjagaan dan pekerjaan ini bila mereka mencapai teknologi tinggi.
“Jadi, ini adalah pengajaran kepada kita. Kita harus mula memikirkan tentang bagaimana untuk mewujudkan dana untuk penjagaan warga emas. Bagaimana untuk mewujudkan pekerjaan dalam segmen penjagaan untuk rakyat Malaysia pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi perbincangan bertajuk Pembaharuan Pasaran Buruh di Malaysia: Peluang dan Cabaran pada hari kedua di Simposium Sasana Bank Negara Malaysia (BNM) 2024 di sini, hari ini.
Sementara itu, Profesor Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Dr. Geoffrey Williams berkata, terdapat ketidak sepadanan dalam penawaran kerja dan bakat yang ada dalam negara.
Katanya, kebanyakan graduan dari universiti mempunyai kelayakan yang lebih tinggi daripada pekerjaan yang ada menjadikan mereka ‘under employment’.
“Ini bermakna gaji terlalu rendah menjadikan ramai yang memilih untuk bekerja dalam sektor tidak formal kerana tawaran yang lebih baik dan mempunyai kelonggaran bekerja.
“Jadi dari segi penjajaran untuk masa depan, jenis pekerjaan perlulah tertumpu kepada kemanusian, berdaya tahan daripada teknologi dan fokus kemahiran insaniah.
“Tumpuan kepada warga emas penting. Ini kerana ekonomi ini semakin menua kita akan memerlukan lebih ramai orang untuk menjaga warga emas rumah dan sebagainya,” ujarnya.
Sumber – UTUSAN
Oleh NUR NAZLINA NADZARI