spot_img
spot_img

Ibadah haji yang gah, tetapi Palestine masih sengsara

spot_img

Sebagai haji kita lawankan ekstremisme dan terorisme, kerana kita juga tahu cucu Nabi, Saidina Hussein menanggalkan ihramnya untuk menentang dua gejala duri dalam daging ini.

Sesungguhnya kita tidak pernah dapat membayangkan umat Islam tanpa rukun sebesar haji. Tanpa haji, umat Islam menjadi mandul dan tidak berani. Ini lantaran haji adalah rukun paling politikal sifatnya. Dengan rukun haji itu umat Islam berkumpul dengan sebegitu ramai dari seluruh pelosok dunia dengan wang trilion ringgit, sangat gagah dan berwibawa, namun tidak dapat menundukkan segala kuasa imperialisme dunia serta membantu kesengsaraan umat Islam di Palestine.

Dengan upacara haji yang sungguh hebat itu, langsung tidak menggerunkan Zionis dan Israel terhadap negara Arab Saudi dan negara sekeliling Palestine yang majoriti berbangsa Arab. Dengan tawaf yang sangat berkait dengan pengorbanan Nabi Ibrahim yang kita sebut-sebut namanya dan keluarganya dalam sembahyang itu; Zionis tidak juga tunduk kepada Qatar, negara matawang terkaya dan terbesar dunia. Dengan ibadah haji, UAE dan Turki masih lagi mempunyai hubungan diplomatik dan perniagaan dengan Israel. Bukankah semasa haji kita berjanji untuk membenci iblis? Dengan lontaran batu terhadap syaitan, Azerbaijan masih menyalurkan bekalan minyak kepada Israel. Haji tidak mengubah umat Islam. Ia tidak mengubah pemimpin di Jordan dan Mesir berpaling untuk mendakap anak-anak yatim dan janda balu Palestine yang sedang nestapa. Seorang haji dari Sudan sebagai contoh juga tidak akan mengerti betapa genosid itu berlaku di Rafah dan juga di halaman rumahnya. Namun tiada perubahan dan tindakan dari dunia Islam terutamanya Arab. Adakah itu haji yang mabrur ? Adakah itu pengajaran dan iktibar dari ibadah haji ?

- Advertisement -

Ini kerana di saat memasuki miqat dan berniat melakukan rukun haji itulah seorang muslim memilih untuk tidak lagi bersama Qabil, dan cucu cicitnya yang membentuk kelas tuan, penindas, imperialis, kolonialis, maha kaya zalim, penyamun dan penjahat, samseng kapitalis penyedut darah, feudalis bangsawan yang tidak mempeduli dan para rasis yang menerjemahkan ketuanan iblis tatkala enggan sujud kepada Adam. Tetapi ibadah haji tidak mengubah dunia Arab ini.

Dengan kain putih dua helai yang membalut seorang pengihram itu, mereka tahu mereka tiada pilihan lain melainkan menjadi seorang yang berdarjat takwa. Kain putih sangat merenungkan kerana ia membawa kepada perhatian dan ingatan kain kafan. Namun dunia Arab lebih memilih kekayaan dan kesenangan daripada membela penderitaan kain darah umat Islam Palestine.

Haji itu adalah satu gerakan, seorang Muslim akan menanggalkan keegoan dan ketamakannya. Ego dan tamak itu melebur kepada tuhan, gerakan yang membawa manusia memanjat ke atas. Muslim kini bukan lagi kiri atau kanan, tetapi mengatas, menuju ke stesen transenden yang tertinggi. Tetapi ia tidak berlaku seperti itu.

- Advertisement -

Justeru itulah seorang yang ingin menunaikan haji akan menyerukan ‘Labaikka’. Jika dia seorang raja, dia sepatutnya akan memandang Netanyahu dan Biden kecil besar kecil besar dan mengecil sehingga dirinya dapat mengatasi segala musuh yang mewakili kefirauan dan keabulahaban. Seorang haji akan menjadi besar di hadapan sekian penjahat. Dengan Labbaik itu seorang individu berhaji beroleh kekuatan dan keimanan yang melubu-lubu lantas akan mendorong mereka mara ke Masjidil Aqsa, stesen pertama Nabi Muhammad untuk berangkat ke atas, menemui ‘kerajaan sebenar’. Namun ia tidak mampu menggerakkan dunia Islam untuk bertindak sedemikian rupa bagi membela 70 tahun kesengsaraan Palestine.

Bila kita berhaji kita mengelilingi Kaabah dan Hijir Ismail, maka dengan penuh hati dan kalbu yang khusyuk kita kembali kepada Tuhan Yang Maha Esa, yang mana dengan itu kita beroleh segala kekuatan lantaran ketundukan kita yang hanya kepada-Nya. Jadi sepatutnya raja-raja dan pemimpin umat Islam itu tidak ada seorang pun kecut berdepan dengan Netanyahu. Ini kerana di hadapan Kaabah itu mereka malu dengan Siti Hajar. Mereka segan dengan Ismail Alaihissalam. Mereka berjanji tidak akan mengulangi kehausan Ismail di hadapan telaga zam-zam. Justeru mereka bertaubat senasuhanya setelah mengenangkan anak-anak kecil di Gaza mengangkut air kotor untuk minuman dengan kaki dan tangan mereka yang tempang serta kudung setelah dibom Zionis. Pada nama Hajar itu seorang haji menyedari duduk mereka sebagai ‘mahajir’ atau imigran. Yakni berhijrah meninggalkan kekolotan kepada kemadanian sebenar. Namun kesedaran itu tidak timbul. Pemimpin dan raja-raja umat Islam hanya menjadikan haji sebagai suatu ritual sahaja.

Di kala seorang haji itu bertawaf dan bersaei, sekian haji-haji yang ramai itu akan gigih mengatasi godaan setan, dan paling mustahak untuk mengatasi Khannas, sang pembisik yang mengilhamkan segala kejahatan dalam hati manusia. Ia memerdekakan semua haji-haji itu daripada penjajahan minda dan kalbu. Seperti Ibrahim, mereka tergamak dan bulat hati mengkapak dan meleraikan segala binaan palsu berhala Azar dalam bentuk faham siasah yang selama ini mengekang. Segala kuasa besar dunia tidak lagi berupaya menekan, tetapi dengan haji saban tahun ini, umat Islam terus mundur, keterbelakang dan tidak mampu membela bangsa mereka walaupun diberi kurnia kekayaan dan sumber alam yang tiada pada kaum lain.

Di kemuncak haji tatkala berada di Arafah, para haji sepatutnya akan menemukan ilmu. Di Mashar mereka akan menemui kefahaman dan kedalaman. Manakala di Mina sang haji akan menemukan cinta dan keyakinan. Sayang sekali, ia tidak begitu.

Di Arafah ingatlah, pernah terzahir kebijaksanaan manusia pertama, datuk kita Adam yang setelah menginsafi kesalahan besar ia lakukan telah memilih bisikan Iblis berbanding tegahan Allah. Di Arafah, Adam menemukan kembali Hawa, bertaubat dan menguasai realiti dunia yang penuh pancaroba dan mencabar. Sejak itu Adam memastikan agar kepimpinan yang benar hanya ada pada jalur ketakwaan. Jalur itu datang daripadanya mengalir kepada Habil, dan setelah Habil dibunuh Qabil, ia menuruni melalui Syits sehingga kepada Nuh, Ibrahim dan nanti Muhammad Rasulullah dan pewarisnya yang tulen.

Sebagai haji kita lawankan ekstremisme dan terorisme, kerana kita juga tahu cucu Nabi, Saidina Hussein menanggalkan ihramnya untuk menentang dua gejala duri dalam daging ini. Namun, selepas haji, umat Islam tidak mampu menentang segala bentuk ancaman itu.

Di Mina, setiap yang berhaji akhirnya sepenuh kekuatan berjaya melawan segala jenis kesyaitanan dan kemunafikan. Di hujung ritual itu, setiap yang berhaji tahu siapa sebenarnya lawan mereka. Dan tidak sehingga segala posisi dunia itu berjaya menakluki. Pada tujuh butir batu yang dilecut itu ada ikrar dan keazaman untuk bebas sepenuh-penuhnya dari segala tenggekan syaitani. Tetapi ia tidak berlaku, umat Islam Palestine di bunuh sewenang-wenangnya dan dunia Islam hanya melihat dari kaca telefon, dunia Arab hanya berkata-kata.

Upacara haji hebat yang mengandung falsafah ketauhidan itu membolehkan sang haji meruntuhkan simbol segala penindasan iaitu Firaun, menginjakkan segala simbol kapital dan kapitalisme bobrok seperti terdapat pada Qarun, serta beroleh ketulusan untuk menghunjam Bal’am lambang hipokrit. Tetapi umat pemimpin dan raja-raja Islam masih berdiplomasi dengan Amerika Syarikat dan Israel.

Pada ibadat korban kelak, sang haji akan merenungi diri bagaimana Ismail membujuk ayahnya dan meneguhkan kepercayaan sang bapa untuk melakukan perintah Allah. Tidak ada lagi yang menghalangi keimanan sang bapa, juga sang haji. Tidak ada lagi kemasyhuran, kekuasaan, kekayaan yang akan merintangi usaha kita untuk menjadi manusia yang patuh kepada Yang maha Kuasa. Di hadapan kambing yang ditumbangkan itu kita ternampak-nampakkan anak-anak Gaza yang disembelih Netanyahu dan Biden – sepatutnya. Di situ kita menyumpah laknat mereka, dan bersumpah janji untuk mengajarkan Firaun era ini erti sebenar satu haji. Kepala anak-anak Rafah kita gantikan dengan kepala lembu, kibas, dan unta. Tetapi kanak-kanak Palestine terus menjadi korban sembelih tenteram pengganas Zionis di hadapan mata.

Percayalah duhai, sehabis musim haji kita akan melihat Palestin terus sengsara tanpa pembelaan. Ini kerana umat Islam terus mandul walaupun telah melalui rukun sebesar haji. Arab Saudi, Qatar, Jordan, Mesir, UAE dan Turki akan terus bacul dan berselindung dengan kepentingan masing-masing serta tidak akan bersatu. Umat Islam tidaka akan menjadi produktif dan tekad berani dengan ibadah haji, yang sepatutnya mencapai objektif itu. Dengan rukun haji itu umat Islam sepatutnya tidak lagi membeloti akidahnya. Dengan haji umat Islam yang ramai membuih itu sepatutnya kita semua akan menundukkan segala kuasa imperialisme dunia, tetapi ia tidak berlaku. Kita masih kasih sayang dengan harta, kuasa, dan dunia walaupun ia bermakna membelot seagama dan sebangsa. Kita tidak mampu menjadi contoh kepada bukan Islam yang juga merupakan cucu-cicit Adam yang ada bumbu moral.

Selepas musim haji, senarionya tetap sama. Haji kita mungkin telah naik ke atas, tiba di sana ia dikeronyok kemudian dilempar kembali ke muka kita! Ujian ini bukan ke atas rakyat Palestine kerana ganjaran mereka syurga InsyaAllah, tetapi ini adalah ujian Allah SWT kepada seluruh umat Islam di dunia ini.

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img