BRUSSELS, 22 Mei – Kesatuan Eropah (EU – European Union) akan mengenakan duti “bersasar” ke atas kereta elektrik China jika syarikat itu didakwa menerima bantuan subsidi kerajaan China, di mana ia adalah amalan yang tidak dibenarkan di Eropah kata ketua blok itu iaitu Ursula von der Leyen pada semalam.
Tahun lalu EU menimbulkan kemarahan China selepas melancarkan penyiasatan anti-subsidi ke atas kereta elektrik China dan pastinya China akan bertindak balas juga kepada produk dari EU.
Amerika Syarikat awal bulan ini menaikkan tarif secara mendadak ke atas kenderaan elektrik buatan China, tetapi von der Leyen menegaskan EU akan mengambil pendekatan berbeza.
Suruhanjaya itu dijangka memutuskan sama ada akan mengenakan duti sementara ke atas kereta elektrik China menjelang 5 Jun. Jika ia memilih untuk berbuat demikian, mereka akan memohon mulai 4 Julai.
Namun beberapa negara EU berhati-hati dengan langkah sedemikian.
Jerman dan Sweden minggu lalu menyatakan keraguan tentang kemungkinan tarif Eropah, bimbang kesan terhadap perdagangan antara Barat dan China.
Von der Leyen, bagaimanapun, menolak dakwaan China dan EU sudah berada dalam perang perdagangan.
“Tidak, saya tidak fikir kita berada dalam perang perdagangan,” katanya semasa perbahasan yang dianjurkan oleh kumpulan pemikir Bruegel dan Financial Times.
Dia menegaskan EU mahu menghapuskan risiko hubungan ekonominya dengan China, tetapi tidak menyekat hubungan perdagangan seperti yang telah dilakukan kepada Rusia akibat serangan Moscow pada 2022 ke atas Ukraine.
Tetapi ketegangan antara Beijing dan Brussels semakin meningkat apabila EU telah melancarkan siasatan yang menyasarkan subsidi China untuk panel solar, turbin angin dan kereta api.
Bulan lalu, EU memulakan siasatan terhadap perolehan awam China bagi peranti perubatan di tengah-tengah kebimbangan Beijing memihak kepada pembekal tempatan.
Beijing telah memberi amaran bahawa ia akan bertindak balas terhadap sebarang tindakan sekatan ke atas entiti perniagaan dari negarnaya.
“Pihak China akan menyediakan tindakan balas yang setimpal,” kata Dewan Perniagaan China kepada EU (CCCEU) pada hari Sabtu lepas.
CCCEU merujuk kepada “pakar undang-undang” yang dipetik dalam media China yang berkata “memandangkan subsidi yang besar dalam sektor pertanian EU, wain dan produk tenusu Eropah mungkin mendapati diri mereka akan dikenakan sekatan dalam tindak balas terhadap EU”.