PUTRAJAYA – Kerajaan memberi jaminan tiada satu pun permohonan ke institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) ditolak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini lebih 30,000 tempat disediakan untuk pemohon.
“Berdasarkan trend sebelum ini, terdapat 100,000 permohonan, saya minta seketeriat (Majlis TVET Negara), jangan ada seorang pun (pemohon) kecil hati untuk mendapatkan tempat,” katanya di Majlis Peluncuran Sistem Pengambilan UP_TVET di sini pada Isnin.
Menurutnya, pelaksanaan UP_TVET bagi Ambilan Perdana Julai 2024 melibatkan semua institusi TVET di bawah tujuh kementerian dengan 744 kursus ditawarkan.
“Permohonan ambilan Julai ini telah dibuka bermula 25 Mac sehingga 11 Jun ini dengan jumlah pengguna UP_TVET telah mencapai 36,000,” ujar beliau.
Katanya, penggunaan saluran UP_TVET yang fleksibel dengan mengambil kira keperluan pelbagai syarat masuk merupakan satu inisiatif untuk membuka ruang seluasnya kepada rakyat menyertai TVET.
“Salah satu ciri UP_TVET ialah institusi menawarkan calon berpeluang mendapatkan lebih daripada satu tawaran.
“Pada akhirnya, calon boleh bersetuju menerima satu tawaran sahaja,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata, kursus-kursus yang ditawarkan juga akan menumpukan TVET bertaraf tinggi seperti kursus kecerdasan buatan (AI), internet kebendaan (IOT), robotik, kenderaan elektrik yang mana ia sangat relevan dengan permintaan industri.
“Walaupun tiada sijil akademik, sama ada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kita akan terima warganegara Malaysia untuk memasuki mana-mana institusi TVET di negara kita ini,” katanya.
Sistem UP_TVET yang dibangunkan oleh Kementerian Sumber Asli (KESUMA) telah dilaksanakan bagi Ambilan Perdana Januari 2024 yang bermula 30 Oktober tahun lalu.
Sumber : Sinar Harian