Memetik laporan Bloomberg, Pengerusi Kumpulan Genting yang merupakan syarikat kasino dari Malaysia, Lim Kok Thay berkata konglomerat itu terbuka untuk meneruskan pembangunan pusat peranginan kasino bersepadu di Emiriah Arab Bersatu (UAE), di mana negara Teluk itu sedang mengkaji untuk mewujudkan pusat percutian perjudian.
Laporan itu menyebut Genting mengalu-alukan pembangunan itu kerana syarikat itu mempunyai pengalaman dalam bidang resort perjudian.
Genting menimbulkan hasrat itu sejurus UAE menubuhkan badan persekutuan tahun lepas untuk mengawal selia industri perjudian.
Wujudnya kasino di UAE akan menjadi perubahan drastik untuk negara Arab itu di mana undang-undang Islam, atau Syariah, adalah asas utama untuk perundangannya.
Perjudian adalah dilarang di bawah Islam dan haram di negara itu, di mana penjudi boleh didenda atau dihukum penjara dua tahun, atau kedua-duanya.
UAE dan Ras Al Khaimah telah muncul sebagai pendahulu dalam memperkenalkan kasino mendahului jirannya Dubai, selepas negara kota mewah itu menangguhkan resort perjudian, lapor Bloomberg pada November tahun lalu.
Tapak yang sedang dipertimbangkan di UAE termasuk Pulau Yas – lokasi kepada Litar Formula Satu F1 Yas Marina dan taman tema Dunia Ferrari dan Warner Bros.
Di Ras Al Khaimah, Wynn Resorts Ltd yang merupakan syarikat resort perjudian yang berpangkalan di Las Vegas memulakan kerja pada tahun lepas di pusat peranginan bersepadu itu dengan nilai $3.9 bilion yang akan dibuka pada 2027.
Walaupun Wynn berkata projek itu akan merangkumi “perjudian”, kerajaan Ras Al Khaimah masih tidak mengumumkannya dengan rasmi.
Pasaran kasino UAE boleh mengatasi pasaran Singapura di rantau Asia dari segi pendapatan, menurut laporan 14 Mei oleh penganalisis Bloomberg Intelligence Angela HanLee dan Lea El-Hage.
Kumpulan Genting sentiasa menggunakan syarikat Genting Singapura untuk kerja-kerja atau tender luar negara.