PUTRAJAYA: Sebanyak 43 teknologi yang dibangunkan MIMOS Berhad dikomersialkan dengan hasil janaan berjumlah RM209.83 juta sekali gus menunjukkan penerimaan baik daripada pihak industri.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), terdapat 15 teknologi dibangunkan dengan menyasarkan untuk mengkomersialkan sebanyak 20 projek pembangunan dan penyelidikan (R&D) menjelang akhir tahun depan.
Menurut beliau, beberapa hasil projek R&D yang mempunyai impak langsung kepada rakyat antaranya Kebolehjejakkan atau Traceability, dibangunkan berasaskan teknologi blockchain.
“Ia dilaksanakan dalam Sistem Pengurusan Vaksin untuk program vaksinasi ketika pandemik Covid-19.
“Begitu juga dengan projek MyDigitalID yang diperkenalkan dan sedang dilaksanakan secara berfasa untuk menyediakan pengesahan identiti yang selamat dalam talian,” katanya ketika berucap pada majlis MIMOS Technology Preview 2024 di sini hari ini.
Lih Kang berkata, salah satu teknologi MIMOS yang dipamerkan hari ini ialah sistem penyejukan bangunan iaitu MIMOS Autonomous Chiller Control & Energy Efficiency (Mi-ACE) system.
Katanya, sistem ini memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan Internet of Thing (IoT) tanpa wayar untuk merevolusikan sistem penyejukan bangunan itu yang bakal diaplikasikan oleh rakan-rakan perniagaan MIMOS termasuk AXICOM, iSCADA NET, serta SquareCloud Malaysia Sdn. Bhd.
“MIMOS akan menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) bersama AXICOM dan iSCADA NET, dan Perjanjian Lesen Teknologi (TLA) dengan SquareCloud bagi menandakan kerjasama itu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pelaburan R&D Malaysia masih ketinggalan berbanding negara-negara maju seperti Korea Selatan, Jepun dan Singapura.
Jelasnya, dengan menetapkan sasaran 3.5 peratus nisbah perbelanjaan kasar R&D (GERD) terhadap KDNK, Malaysia mengambil langkah penting untuk merapatkan jurang ini bagi menjamin pembangunan ekonomi yang kukuh untuk jangka masa panjang.
Ia sekali gus mendorong produktiviti lebih tinggi, mencipta pekerjaan berkemahiran tinggi dan meningkatkan nilai ekonomi negara.
“Selain itu ia merangsang inovasi dalam sektor-sektor utama seperti bioteknologi, tenaga boleh diperbaharui, teknologi digital, yang akan dapat membantu menagani cabaran semasa seperti keterjaminan makanan dan perubahan iklim.
“Dengan kepakaran dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan penyelidikan industri, MIMOS dapat mempercepatkan pengkomersilan produk dan teknologi yang inovatif,” katanya.
Sumber – UTUSAN