Ankara (3 Mei): Turki menghentikan semua eksport dan import kepada dan dari Israel, kata kementerian perdagangan Turki. Turki bertindak sedemikian akibat daripada “tragedi kemanusiaan yang semakin teruk” di wilayah Palestin.
“Urus niaga eksport dan import yang berkaitan dengan Israel telah dihentikan, meliputi semua produk,” kata kementerian perdagangan Turki dalam satu kenyataan.
“Turki akan melaksanakan langkah-langkah baharu ini dengan tegas sehingga Kerajaan Israel membenarkan aliran bantuan kemanusiaan yang mencukupi dan tidak terganggu ke Gaza.”
Nilai perdagangan kedua-dua negara berjumlah $6.8 bilion pada 2023.
Turki bulan lalu mengenakan sekatan perdagangan ke atas Israel atas apa yang dikatakannya sebagai keengganan Israel untuk membenarkan Ankara mengambil bahagian dalam operasi pelepasan bantuan melalui udara untuk Gaza dan serangan Zionis ke atas kawasan itu.
Terdahulu pada hari Khamis lepas, menteri luar Israel berkata bahawa Presiden Turki Tayyip Erdogan melanggar perjanjian dengan menyekat pelabuhan untuk import dan eksport Israel.
Dia menuduh Erdogan sebagai diktator dan tidak patuh kepada perjanjian perdagangan.
Katz berkata beliau mengarahkan kementerian luar berusaha mewujudkan alternatif untuk perdagangan dengan Turki, memberi tumpuan kepada pengeluaran tempatan dan import dari negara lain.