PUTRAJAYA: Kerajaan membelanjakan hampir RM4 bilion untuk merawat kira-kira 5 juta rakyat di negara ini yang berisiko menghidap pradiabetes dan diabetes.
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, diabetes juga merangkumi hampir 50 peratus jumlah kos rawatan bagi menguruskan penyakit tersebut menerusi peruntukan tahunan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Saya juga ada menyebut hampir lima juta rakyat Malaysia sebenarnya terdedah kepada prediabetes dan diabetes ketika ini.
“Dan juga penyakit diabetes ini merangkumi hampir 50 peratus kos rawatan iaitu bernilai hampir RM4 bilion yang kita gunakan dalam peruntukan tahunan KKM,” katanya selepas melancarkan program Stand Against Prediabetes; Don’t Sugarcoat It’s (SAPd) dengan tema ‘Saring, Sahkan, Runding dan Ubah’ di sini, semalam .
Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, oleh kerana penyakit tersebut lazimnya tidak menunjukkan simptom, kebanyakan individu tidak sedar akan keadaan mereka selain berkemungkinan tidak menjalani pemeriksaan awal.
Jelasnya, kempen berkenaan bertujuan mendidik dan menggalakkan orang ramai untuk mengesahkan risiko peribadi mereka, menjalani ujian saringan dan bekerjasama dengan pakar penjagaan kesihatan untuk menguruskan pradiabetes.
“Justeru dengan adanya kempen-kempen yang dijalankan, saya berharap kita lebih memfokuskan kepada memberi kesedaran kepada masyarakat yang mungkin terdedah terhadap gaya hidup dengan pengambilan gula berlebihan,” ujarnya.
Sumber – UTUSAN