PETALING JAYA: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Amazon Global Selling memperkukuh kerjasama untuk meningkatkan pembangunan e-dagang rentas sempadan di Malaysia, sejajar dengan permintaan yang semakin meningkat daripada perniagaan negara ini.
Menurut kenyataannya, kedua-dua pihak akan mengadakan acara jangkauan suku tahunan sepanjang 2024 untuk meningkatkan kesedaran tentang e-dagang rentas sempadan dan membantu pemilik jenama Malaysia memulakan perniagaan e-dagang rentas sempadan mereka dengan Amazon.
Inisiatif itu juga dapat memperkenalkan lebih banyak jenama dan produk Malaysia kepada pelanggan di Amerika Syarikat (AS).
Aktiviti 2024 akan merangkumi acara luar talian di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru dengan bengkel individu yang memberikan pandangan dan panduan berharga untuk memperkasakan usahawan tempatan.
Tambahya, turut diadakan penglibatan dalam talian dengan latihan dan kandungan yang disesuaikan untuk melengkapkan penjual Malaysia dengan alat yang diperlukan untuk membantu mereka berjaya di peringkat pentas global.
Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Mohd. Mustafa Abdul Aziz berkata, pihaknya berbesar hati untuk memulakan perkongsian strategik ini dengan Amazon Global Selling untuk memperkenalkan e-dagang rentas sempadan kepada perusahan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia.
“Melalui kerjasama ini, kami menyasarkan untuk melengkapkan PKS Malaysia dengan pengetahuan yang diperlukan dan sumber untuk mengembangkan kehadiran mereka di e-kedai Amazon dan mengembangkan jenama mereka antarabangsa,” katanya.
Kandungan kursus yang disediakan kepada PKS Malaysia akan merangkumi perjalanan hujung ke hujung penjual Amazon, termasuk pendaftaran akaun, penyediaan produk, pematuhan, penyenaraian, penghantaran, pengiklanan dan banyak lagi.
Menurut pandangan terkini daripada laporan Perkongsian Akses 2023, nilai eksport e-dagang Malaysia dijangka melonjak pada kadar tahunan yang mengagumkan sebanyak 14 peratus, mencecah anggaran RM36.2 bilion (AS$8.6 bilion) menjelang 2027.
Sumber – UTUSAN