PUTRAJAYA: Mulai Jun ini, syarikat yang berminat untuk menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan boleh memohon lesen daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Menteri Pengangkutan Anthony Loke, yang mengumumkannya semalam, berkata ini adalah sebahagian daripada usaha kementerian untuk mengurangkan monopoli dan memperkenalkan persaingan sihat dalam sektor pengangkutan.
Kerajaan berharap dapat menarik minat pelabur tambahan untuk membantu memacu pembangunan teknologi baharu dalam industri itu.
“Ini akan mewujudkan persaingan industri yang sihat yang akan membawa kepada perkhidmatan yang lebih konsisten dan berkualiti tinggi untuk manfaat semua,” kata Anthony Loke pada sidang media di sini semalam.
Langkah itu akan menamatkan tiga dekad monopoli Puspakom yang dilantik kerajaan pada 1994 untuk menjalankan semua pemeriksaan mandatori kenderaan komersial dan persendirian.
Loke mendedahkan garis panduan dan keperluan terkini yang perlu dipatuhi oleh penyedia perkhidmatan pemeriksaan kenderaan (VISP – vehicle inspection service providers), antaranya pusat pemeriksaan akan berada di lokasi tetap yang ditentukan oleh kementerian.
“Setiap VISP pada mulanya akan dibenarkan beroperasi di dua lokasi – satu di kawasan bandar dan satu lagi di kawasan luar bandar.
“VISP kemudiannya dikehendaki membangunkan dan mengendalikan kedua-dua lokasi serentak dengan senarai lokasi yang akan disediakan semasa sesi perundingan pihak berkepentingan pada 23 April.
“Dengan ini, matlamat akhirnya adalah untuk memastikan setiap negeri dan mungkin kawasan mempunyai sekurang-kurangnya satu VISP untuk berkhidmat kepada masyarakat bandar dan luar bandar,” katanya.
Loke berkata VISP perlu mempunyai sekurang-kurangnya RM10 juta modal berbayar dan RM5 juta modal kerja untuk memastikan kemampanan perniagaan.
Setelah diluluskan, VISP yang layak akan diberi tempoh kelulusan sementara sehingga 24 bulan di mana syarikat mesti membangunkan sepenuhnya dan menubuhkan pusat pemeriksaan kenderaan mereka di lokasi yang diperuntukkan mereka.
“Mana-mana pihak yang didapati gagal menyelesaikan semua proses penyediaan dalam tempoh masa ini akan dibatalkan kelulusan sementara dan tidak akan diberikan lesen.
“Mereka yang berjaya akan diberikan lesen untuk menjalankan pemeriksaan kenderaan… untuk tempoh maksimum sehingga 10 tahun, dengan keupayaan untuk disambung jika cemerlang,” kata Loke.
Bagaimanapun, VISP tidak akan dibenarkan menawarkan pembaikan, pengubahsuaian kenderaan, penjualan alat ganti atau kenderaan, atau sebarang transaksi berkaitan perkhidmatan tersebut, tambah menteri itu.