Al-Quran diturunkan bukan hanya untuk dijadikan kitab bacaan dan hafalan semata-mata. Sebaliknya, Allah SWT mahukan umat manusia menjalani kehidupan dunia berpandukan dasar dan nilai yang terkandung di dalamnya.
Apatah lagi dalam situasi dunia moden hari ini yang sedang dilanda pelbagai cabaran. Al-Quran tidak pernah menyisihkan sebarang isu permasalahan kehidupa manusia, baik isu besar mahupun isu yang dianggap remeh.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Jaatsiyah, ayat 20 yang bermaksud: “Al-Quran ini adalah pedoman bagi manusia, petunjuk dan rahmat bagi kaum yang menyakini.”
Dalam Surah an-Naml ayat 1-2 Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Thaa Siin. Ini adalah ayat-ayat al-Quran dan ayat-ayat kitab yang menjelaskan untuk menjadi petunjuk dan berita gembira untuk orang yang meyakini.”
Berdasarkan maksud ayat-ayat Allah itu, jelas al-Quran diturunkan sebagai panduan hidup buat manusia tidak terhad kepada perkara pokok berkaitan mengerjakan ibadat semata-mata.
Allah SWT menasihatkan kita dengan firman-Nya yang bermaksud: “Dan ikutilah sebaik-baik apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu sebelum datang azab kepadamu dengan tiba-tiba, sedang kamu tidak menyedarinya.”
Tidak yakin terhadap ajaran al-Quran sebagai panduan hidup berkemungkinan timbul akibat pengaruh luar yang sekian lama memusuhi Islam.
Era imperialisme dulu adalah medan melemparkan pelbagai propaganda licik dan keji dalam usaha menghakis iman serta keyakinan umat Islam.
Kini, meskipun kebanyakan negara Islam sudah bebas daripada penjajah, kesannya masih ada dalam jiwa umat Islam.
Akibatnya, dalam menghadapi isu kehidupan, umat manusia tidak mampu menangani dengan berkesan, malah dalam sesetengah isu ia menampakkan kegagalan.
Rasulullah SAW pernah mengingatkan umatnya, “Aku tinggalkan pada kalian dua perkara, kalian tidak akan tersesat selagi berpegang teguh pada kedua-duanya iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunahku.” (Hadis riwayat Imam al-Hakim)
Contohnya, dalam ekonomi berapa ramai usahawan Muslim sanggup melakukan perbuatan yang jelas dilarang al-Quran?
Penipuan dalam timbangan, menyorok barangan, menaikkan harga sewenang-wenangnya tanpa memperhitungkan kepentingan pengguna dan pelbagai gejala negatif lain.
Semua unsur ditegah al-Quran itu berlaku yang menggambarkan al-Quran dipinggirkan. Dalam al-Quran juga dijelaskan larangan terhadap sebarang bentuk perjudian dan amalan riba.
Malangnya amalan dan tadbir urus ekonomi semakin banyak berunsur perjudian dan riba. Islam sudah- pun mewartakan judi dan riba sebagai sumber ekonomi terlarang dalam usaha manusia mengejar habuan keduniaan.
Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 275yang bermaksud: “Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.”
Banyak isu yang timbul dalam sektor ekonomi moden hari ini disebabkan manusia tidak patuh kepada prinsip ekonomi yang digariskan al-Quran.
Hebat macam mana sekali pun teori ekonomi moden yang digunakan, apabila bersabit dengan judi dan amalan riba, ia tetap tidak akan sempurna dan diredai Allah.
Begitu juga dalam isu kelestarian alam sekitar. Manusia hari ini tidak lagi dapat berharmoni secara kondusif dengan alam sekitar. Seolah-olah alam sekitar yang serba lengkap dikurniakan Allah buat manfaat manusia boleh diperlakukan sesuka hati.
Menggondol hutan secara rakus, membuang sampah dan sisa toksik ke dalam sungai antara contoh tingkah laku buruk yang menggambarkan manusia kini tidak lagi teguh berpegang kepada ajaran al-Quran.
Menerusi firman Allah dalam Surah al-Qashash, ayat 77 menjelaskan: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan.”
Begitu juga dalam Surah ar-Rum, ayat 41 sekali lagi Allah SWT tegaskan: “Telah nampak kerosakan di dunia dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada akibat perbuatan mereka agar mereka kembali ke jalan yang benar.”
Semua itu sudahpun berlaku hari ini. Hutan belantara dirobek, aliran sungai yang indah dipenuhi sisa sampah dan udara sesak dengan bahan kimia berbahaya.
Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang : Mohd Rizal Azman Rifin