KUALA LUMPUR: Kos pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu ke Pelabuhan Klang sepanjang 665km dan 20 stesen di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor kekal pada kos RM50.27bil, Dewan Rakyat diberitahu hari ini oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Malaysia Rail Link (MRL) adalah pemilik projek ECRL tertakluk di bawah Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 bagi tanah yang terlibat dalam projek ECRL.
Berdasarkan APT 1960, pihak berkuasa negeri, katanya, boleh memperoleh mana-mana tanah yang diperlukan untuk tujuan pembangunan untuk rakyat.
Menurutnya, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) bersama MRL akan mengenal pasti mana-mana baki tanah yang tidak ekonomik hasil daripada pengambilan tanah oleh projek ECRL.
“Sekiranya baki tanah kurang daripada 0.25 hektar daripada warta Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960, tanah itu akan diambil secara keseluruhannya.
“Bayaran pampasan yang dinamakan sebagai ‘injurious affection and severance’ juga akan diberikan kepada pemilik tanah bagi tanah yang tidak lagi memberikan nilai keuntungan akibat pengasingan tanah atau keadaan saiz dan bentuk tanah yang ditinggalkan selepas pengambilan dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada hari ini.
Ismail ingin mengetahui kos akhir pembinaan ECRL dan apakah tindakan yang perlu diambil oleh kerajaan bagi menyelesaikan masalah sebahagian tanah pemilik yang terlibat dalam pengambilan tanah kerana tanah itu tidak lagi boleh digunakan akibat pembinaan ECRL.
Loke berkata Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) akan menjalankan kajian terperinci berhubung kerugian yang dituntut dan menasihati JKPTG mengenai jumlah pampasan yang sesuai.
“Seterusnya pihak JKPTG akan menawarkan jumlah pampasan yang diterima pada hari perbicaraan. Bayaran pampasan akan dibuat dalam tempoh tiga bulan selepas MRL menerima jumlah tawaran pampasan yang disyorkan oleh JKPTG.
“Pemilik tanah boleh membantah jumlah pampasan yang ditawarkan dengan mengemukakan rayuan bertulis kepada Mahkamah Tinggi dalam tempoh enam minggu selepas tawaran pampasan bertulis dikeluarkan,” katanya.