Kuala Lumpur 23 Mac : Mufti Perlis dan tokoh agamawan terkenal negara, Prof Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin atau popular dengan panggilan Dr Maza, hari ini melahirkan rasa sedih dan kecewa beliau terhadap negara-negara Arab disekeliling Palestine yang ‘berpeluk tubuh’ tidak membantu menamatkan keganasan Yahudi Zionis Israel terhadap rakyat Palestine.
“Tergamak Bangsa Arab membiarkan kaum mereka sendiri kelaparan, dibunuh dan diseksa”, ujarnya yang merupakan satu kritikan penting terhadap sikap pemimpin negara-negara Arab dari seorang pemimpin yang berpengaruh dalam negara Islam.
Negara Arab yang berhampiran seperti Mesir menutup sempadan mereka untuk dimasuki oleh rakyat Palestine yang telah diusir oleh rejim Zionis.
Namun banyak negara Arab mempertahankan tindakan menutup sempadan kepada rakyat Palestine dengan alasan tidak mahu negara Palestine diambil terus oleh penempatan haram Yahudi. Tetapi kesengsaraan yang ditanggung oleh rakyat Palestine akibat kehilangan harta benda dan tempat tinggal amat dahsyat untuk ditanggung tanpa pembelaan negara terdekat.
Dr Maza mendakwa negara-negara Arab yang berjiran dengan Palestine telah menutup pintu sempadan mereka bahkan mengawalnya untuk kepentingan tertentu dan memberi faedah kepada pihak musuh.
Dalam kenyataan di dalam sosial media beliau yang mendapat ratusan komen yang bersetuju dengan kritikannya, beliau menambah ulama-ulama di bumi Arab telah ‘hilang kata-kata’ terhadap tindak-tanduk pemimpin Arab yang berdolak dalik dalam menghentikan keganasan Zionis terhadap rakyat Palestine yang telah berlaku lebih 7 dekad.
“Sebahagian masyarakat Barat lebih berperikemanusiaan, mereka membantah kerajaan mereka dan membela yang ditindas. Kita di Malaysia dan Indonesia walaupun bukan Arab, masih membara rasa marah atas apa yang sedang berlaku”, katanya.
Protes kumpulan Yahudi Amerika Syarikat, meminta gencatan senjata di Palestine
Untuk rekod, kerajaan Arab Saudi melarang sebarang bentuk tanda sokongan kepada Palestine di dalam negaranya. Terdapat jemaah umrah yang ditahan kerana menunjukkan sokongan kepada rakyat Palestine agar keganasan yang menimpa mereka dihentikan.
“Hinanya maruah Arab”, kata Dr Maza di akhir kenyataannya itu.