PETALING JAYA: CelcomDigi Bhd. (CelcomDigi) bekerjasama strategik dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), melancarkan CelcomDigi Metaversity, suasana pembelajaran secara digital pertama di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata, kerjasama itu melonjakkan pembangunan bakat masa hadapan negara yang pakar dalam teknologi baharu berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta memacu inovasi penyelesaian digital dalam landskap akademik dan perusahaan.
“Ia bagi memanfaatkan penyelesaian metaverse, realiti lanjutan (XR), AI serta disokong oleh sambungan 5G dan fiber CelcomDigi,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Idham, modul pembelajaran maya memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan kemahiran dan mencipta peluang inovasi meliputi pelbagai sektor industri seperti penjagaan kesihatan, kejuruteraan, robotik, keselamatan siber.
Jelas beliau, Metaversity CelcomDigi telah melaksanakan enam kes pengguna dengan universiti tempatan seperti Muzium Maya, Hospital Pengajaran Perubatan, Pembuatan Kereta, Robotik, Keselamatan Siber dan Kejuruteraan industri minyak dan gas (O&G).
Katanya, sebanyak 10 universiti telah mengikrarkan komitmen mereka untuk menerima pakai modul pembelajaran itu.
“10 universiti itu ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Teknologi Mara (UTM), Asia Pacific University of Technology and Innovation (APU), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), MAHSA University, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka ( UTeM),” katanya.
Idham berkata, matlamat usaha itu untuk membantu mempercepatkan kesediaan bakat masa depan, sekaligus meletakkan universiti tempatan sebagai antara institusi pembelajaran tercanggih di rantau ini.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, pembelajaran dan pendidikan Metaverse adalah kaedah inovatif yang membuka banyak kemungkinan untuk direbut dan dialami oleh bakat masa hadapan.
Beliau berkata, usaha itu merupakan satu kejayaan mengagumkan buat CelcomDigi dalam menerajui inisiatif ini ke arah menginovasikan penyelesaian yang memberi inspirasi kepada pelajar Malaysia.
“Kami menyeru lebih banyak institusi pendidikan serta pemain teknologi dan industri bersama-sama menyuntik nafas baharu dan merevolusikan sistem pendidikan negara seterusnya mengangkat bakat negara ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Sumber – UTUSAN