Putrajaya 13 Mac : Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba ‘diserang’ oleh media Barat di Jerman berkenaan sokongan kerajaan terhadap pejuang kemerdekaan Hamas.
Sessi media bersama Chancellor Jerman Olaf Scholz itu diadakan sempena lawatan rasmi PM ke Jerman.
Anwar menerima pujian daripada masyarakat antarabangsa di sosial media kerana teguh dan tenang dalam menghadapi soalan provokasi media pro Zionis.
Salah seorang wartawan mengemukakan soalan dengan berkata Malaysia tidak seperti Jerman atau negara Barat lain yang mengkategori Hamas sebagai organisasi pengganas, adakah Malaysia tidak takut dengan tidak mempunyai pendirian yang sama ?
”Polisi kami konsisten, kami menentang semua bentuk pembersihan etnik, apartheid, penjajahan, menceroboh mana-mana negara dan pembunuhan. Sama ada di Ukraine atau Gaza.
“Kita tidak boleh menafikan kezaliman dan pencerobohan selama 4 dekad lebih oleh Zionis yang menyebabkan kesan tindak balas daripada rakyat Palestine”, kata Anwar sambil menambah hubungan Malaysia dengan Hamas adalah melalui sayap politik, bukan ketenteraan organisasi itu.
Anwar berkata masyarakat antarabangsa harus mengenalpasti asas terjadinya konflik di Palestine, bukan hanya berat sebelah melihat apa yang berlaku pada 7 Oktober semata-mata.
”Harta benda mereka, tanah mereka, maruah mereka (rakyat Palestine) harus dikembalikan, barulah masalah keseluruhan konflik itu dapat di atasi”, tegas PM.
Malaysia juga tegasnya tidak menyokong mana-mana pihak melakukan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak serta mencabul hak asasi manusia terhadap mana-mana bangsa.
“Apa yang saya tentang dengan kerasnya adalah naratif yang dimainkan bahawa semua ini bermula sejak 7 Oktober. Ia tidak berlaku semasa 7 Oktober dan tidak akan berakhir dengan tragedi 7 Oktober. Konflik ini bermula 4 dekad yang lalu dan berlaku setiap hari sejak itu”, tegas Anwar lagi.
Apa yang beliau bincangkan dengan Chancellor Jerman berkenaan konflik itu ialah untuk menghentikan pembunuhan, tiada lagi keganasan oleh mana-mana pihak untuk semua penduduk termasuk Arab, Yahudi dan Kristian supaya dapat hidup dengan aman di Palestine.
Namun Anwar diprovokasi lagi oleh wartawan dengan soalan adakah Malaysia tidak peduli tentang tebusan Israel yang diculik Hamas ?
Sekali lagi Anwar bertegas, bahawa jangan mainkan isu tebusan Israel sahaja, adakah tebusan dan kekejaman terhadap penduduk Palestine tidak penting ?
Beliau menekankan bahawa sejarah tidak boleh dipadam kerana semua kekejaman ini telah bermula sejak empat dekad lalu seperti tragedi Nakba di mana Zionis mengusir penduduk asal Palestine keluar dari tanah mereka dan merampas harta benda secara haram.
Anwar berkata inilah punca kepada semua yang terjadi hari ini. Jadi Anwar mengingatkan supaya jangan hanya mengambil 7 Oktober sebagai bermula segala-galanya.
”Adakah dengan pembebasan tebusan Israel semuanya akan terhenti ? Bagaimana dengan tanah yang diceroboh ? Sikap ganas penceroboh terhadap orang Palestine yang berlaku setiap hari ? Bagaimana dengan maruah, kanak-kanak, wanita dan lelaki Palestine ? Inilah juga patut diambil kira.
”Di mana sifat kemanusian kita, kenapa mesti hipokrit ? Kenapa ada sikap memilih keadilan yang berbeza terhadap sesuatu bangsa dengan bangsa yang lain ?”, tegas Anwar kepada pemberita itu.
Malaysia mahu solusi yang menyeluruh untuk semua penduduk Palestine untuk mendapat hak dan keadilan mereka semula serta menolak sikap bermuka-muka Barat dalam konflik Palestine yang dilihat berat sebelah kepada Zionis Israel.