spot_img
spot_img

Inisiatif tabungan SSPN kepada anak tentera

spot_img

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan menerusi Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera memperkenalkan program penabungan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk murid tahun satu bagi anak anggota lain-lain pangkat bermula tahun ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata program yang dikenali Simpanan Pendidikan MADANI (SPM) itu melibatkan sumbangan tabungan ke dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) kepada 9,355 murid tahun satu bagi sesi persekolahan 2024 dengan jumlah keseluruhan bernilai RM467,750.

Selain itu, Mohamed Khaled berkata sebanyak RM15 juta diperuntukkan kerajaan melalui Kementerian Pendidikan bagi kerja penyelenggaraan dan naik taraf fasiliti sekolah dalam kem angkatan tentera.

- Advertisement -

Beliau berkata peruntukan itu akan memberi manfaat kepada 29 sekolah rendah dan menengah termasuk sebuah Maktab Rendah Sains MARA dalam kem Angkatan Tentera di seluruh negara.

“Kedua-dua inisiatif ini dilakukan kerana kami percaya kebajikan serta pendidikan berkualiti adalah perkara yang harus menjadi sebahagian daripada fokus utama kementerian.

“Anggota yang sentiasa sedia dan setia mempertaruhkan nyawa kepada negara tidak seharusnya dibebankan untuk memikirkan sendiri aspek kebajikan diri dan keluarga mereka,“ katanya ketika berucap pada Majlis Perbarisan Tahunan Putera Maktab Tentera Diraja (MTD) di Kem Perdana Sungai Besi di sini, hari ini.

- Advertisement -

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Isham Ishak, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Mohammad Ab Rahman, Panglima Tentera Darat Datuk Muhammad Hafizuddean Jantan, Panglima Tentera Udara Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain.

Mohamed Khaled berkata inisiatif tersebut dapat membantu anggota menjalankan tugas dengan baik selain meningkatkan ekosistem kebajikan serta pendidikan angkatan tentera.

Pada program tersebut seramai 219 pelajar MTD menamatkan tingkatan lima bagi sesi akademik tahun 2023.

Kerajaan katanya membelanjakan kira-kira RM21 juta setiap tahun termasuk emolumen pegawai, guru dan kakitangan serta membiayai segala keperluan dan kebajikan sepanjang dua tahun berada di MTD dengan perbelanjaan RM27,000 bagi setiap seorang pelajar.

 

 

Sumber – Bernama

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img