Kuala Selangor 6 Mac : Bekas Pengerusi Perhubungan Negeri Selangor Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Abdul Rashid Bin Asari telah menyatakan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Dato Seri Aminudin Shari.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Selat Klang itu, beliau memilih untuk menyokong kerajaan negeri Selangor dengan rela hati dan tanpa sebarang paksaan.
Selain itu, beliau menyalahkan partinya Perikatan Nasional (PN) kerana berdiam diri akibat beberapa siri serangan dari pihak PN terhadap institusi Raja-raja Melayu.
“Ini adalah berlawanan prinsip orang Melayu yang beragama Islam”, kata beliau yang juga merupakan pengasas awal Bersatu Selangor.
Tindakan beliau adalah demi kesejahteraan kawasan Selat Klang yang diwakilinya kerana mengakui kerajaan negeri selama ini telah melaksanakan kemajuan dan kesejahteraan kepada rakyat Selangor dengan baik.
Namun, seperti ahli-ahli parlimen Bersatu yang beralih arah menyokong kerajaan perpaduan, beliau juga kekal sebagai ahli Bersatu dan akan terus berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Selat Klang.