SEREMBAN, 4 Mac — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi tempoh seminggu kepada Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan untuk membuat laporan berhubung dakwaannya bahawa beberapa individu telah menjanjikan ganjaran kepadanya jika beliau berikrar menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata di bawah Akta SPRM 2009, adalah menjadi tanggungjawab mana-mana individu yang ditawarkan rasuah untuk segera melaporkan kesalahan itu supaya tindakan selanjutnya dapat diambil.
Jika Wan Saiful tidak membuat laporan dalam masa seminggu ini, SPRM akan mengambil tindakan. Namun menurut Azam Baki lagi, jenis tindakan itu tidak dinyatakan.
”Beliau diwajibkan membuat laporan di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009.
“Beliau perlu datang ke pejabat SPRM; jangan harap SPRM akan bawa dia ke pejabat,” tambahnya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Ceramah Eksekutif Pencegahan Rasuah bersama Exco kerajaan negeri dan ADUN Negeri Sembilan termasuk Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Mengenai kes menantu bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, Azam Baki berkata SPRM masih belum berbincang dengan Jabatan Peguam Negara tentang kemungkinan mendakwanya tanpa hadir.
Azam Baki sebelum ini berkata SPRM bersedia untuk mendakwa Muhammad Adlan atas tuduhan jenayah pecah amanah tetapi dia tidak dapat dikesan dan dipercayai masih berada di luar negara.