TIADA jalan mudah dan singkat untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memaksa enam ahli Parlimennya yang berpaling tadah dan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya mengosongkan kerusi dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Peguam Haniff Khatri Abdulla menjelaskan kepada Sinar Harian, proses mahkamah dan prosedur undang-undang membabitkan tuntutan Bersatu yang bermula dari Mahkamah Tinggi sehingga dimuktamad oleh Mahkamah Persekutuan mungkin mengambil masa bertahun-tahun bergantung kepada keadaan dan budi bicara hakim.
Selain itu, beliau berkata, Bersatu juga perlu ingat sebelum ini mereka gagal dalam permohonan untuk memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi mencabar keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang enggan mengosongkan empat kerusi Parlimen di Sabah.
Empat kerusi itu melibatkan Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali; Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi); Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang).
Begitu juga dengan fail semakan kehakiman dari Bersatu dan enam ahli parlimen yang berpaling tadab itu betul, lengkap atau tidak lengkap. Jika permohonan tidak lengkap proses memfailkan semakan akan mengambil masa lebih lama, menurut Haniff Khatri.
Haniff Khatri berkata demikian mengulas laporan media bahawa Mesyuarat Agung Khas Bersatu pada Sabtu meluluskan pindaan Perkara 10 Perlembagaan Bersatu yang akan membolehkan enam ahli Parlimen mereka yang bertindak menyokong Perdana Menteri, mengosongkan kerusi masing-masing.
Enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar adalah Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Tambah Haniff Khatri, Bersatu juga mungkin terpaksa menunggu sehingga kira-kira sebulan bagi membolehkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia atau RoS untuk meluluskan pindaan perlembagaan yang antara lain mengandungi frasa bahawa mana-mana ahli Parlimennya yang melanggar arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dianggap sebagai keluar parti.
Haniff Khatri berkata sepatutnya Bersatu meminda perlembagaan lebih awal, bukan selepas 4 bulan ahli-ahli parlimennya berpaling tadah kerana banyak pihak sudah memberi cadangan supaya mereka meminda perlembagaan parti, sebelum PRU15 lagi.
“Perlembagaan Bersatu juga menegaskan ‘sesiapa tidak mengikut keputusan parti maka mereka dianggap keluar parti’.
“Namun Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan menjelaskan ‘keluar parti’ bermaksud apabila seseorang ahli Parlimen menyatakan bahawa beliau kini mengumumkan keluar parti sama ada menjadi ahli Parlimen Bebas atau menyertai parti lain atau wakil rakyat Bebas menyertai Parti A atau Parti B.
“Definisi keluar parti atau dianggap keluar parti sudah ada dalam Perlembagaan. Perlembagaan Persekutuan tidak pernah menyatakan bahawa melanggar arahan parti dianggap sebagai keluar parti. Jadi semua ini akan dihujahkan oleh peguam di mahkamah.
“Sebab itulah dari dulu saya cakap, untuk ada peluang berhujah di mahkamah, supaya Bersatu memasukkan klausa beralih sokongan kepada parti atau pemimpin lain sebagai salah satu definisi lompat parti agar kalau ada ahli Parlimen ketujuh atau kelapan yang beralih sokongan Anwar, maka pindaan itu mungkin boleh dipakai,” katanya.
Untuk rekod, Perkara 49(a) Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) Melarang Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti atau lebih dikenali sebagai Akta Anti Lompat Parti menggariskan bahawa perbuatan beralih sokongan bukanlah satu perbuatan melompat parti.
Berikutan itu, Haniff Khatri menjelaskan, Bersatu tidak boleh memaksa enam ahli Parlimen yang sudah menyatakan sokongan kepada Anwar supaya mengosongkan kerusi masing-masing biarpun Bersatu meluluskan usul pindaan perlembagaan yang menyatakan bahawa mana-mana wakil rakyatnya yang melanggar arahan parti dianggap sebagai melompat parti.
Menurutnya, tindakan keenam-enam ahli Parlimen Bersatu yang beralih sokongan kepada Perdana Menteri adalah hak individu yang dipilih sebagai wakil rakyat kecuali jika perkara tertulis dalam perlembagaan parti, sebelum PRU15.
“Apa yang Bersatu cuba buat adalah satu perkara tidak masuk akal. Kalau Bersatu suruh enam ahli Parlimen itu buat keputusan semula mestilah mereka akan berkata kami tidak bertukar parti.
“Justeru, Bersatu juga perlu menulis surat bagi memohon Speaker Dewan Rakyat supaya mengarahkan keenam-enam ahli Parlimen terbabit mengosongkan kerusi masing-masing susulan pindaan perlembagaan parti, pada Sabtu lalu,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menjangka Speaker menolak permohonan itu kerana Bersatu dilihat cuba berdalih secara licik, berikutan pindaan itu diluluskan selepas PRU15 dan tidak terpakai ke atas keenam-enam ahli Parlimen itu.
“Justeru, besar kemungkinan Speaker akan membuat keputusan bahawa tiada keperluan untuk ahli Parlimen berkenaan mengosongkan kerusi seperti diarahkan Bersatu kerana mereka membuat keputusan menyokong Anwar sebelum pindaan perlembagaan parti dibuat Sabtu lalu.
“Jika Bersatu tidak berpuas hati dengan keputusan Speaker mereka boleh mengemukakan semakan kehakiman ke mahkamah berhubung keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat terbabit bagi menentukan sama ada keenam-enam ahli Parlimen berkenaan perlu mengosongkan kerusi dimenangi dalam PRU15 lalu atau tidak,” katanya.