spot_img
spot_img

Transformasi Ekonomi Bumiputera perlu diteruskan seperti kejayaan DEB

spot_img

Putrajaya 2 Mac : Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata kejayaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan pada 1970 oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak adalah terlahirnya kelas pertengahan orang Melayu.

Timbalan Setiausaha Agung DAP itu berkata, DEB telah membawa orang kampung Melayu ke bandar, anak-anak Melayu berjaya masuk ke universiti, dan anak-anak muda Melayu mendapat pekerjaan yang lebih baik daripada ibu bapa mereka sebelumnya di kampung.

“Menjelang dekad 1990-an, masyarakat kelas pertengahan Melayu mula mengukuh”, kata Chin Tong yang mengakui pada era itu orang Melayu amat berterima kasih kepada kerajaan (UMNO) dan merupakan tonggak sokongan kepada kerajaan.

- Advertisement -

Chin Tong menggelar DEB sebagai Momen Tun Razak, kerana DEB memberi pengharapan masa depan yang cerah kepada anak – anak muda era itu yang berusia 20 – 25 tahun . Mereka merupakan anak muda yang lahir selepas perang dunia ke dua atau dikenali di seluruh dunia sebagai baby boomers.

Selepas kehadiran beliau di Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) semalam, beliau menulis bahawa negara harus menghentikan melabel sesuatu kaum itu kaya atau miskin.  Dengan memberi contoh akan dirinya sendiri, yang lahir dari keluarga seorang pemandu teksi dan bas mini, serta kais pagi makan pagi kais petang makan petang – tidak semua orang Cina itu kaya.

Chin Tong berpendapat dasar memakmurkan kaum majoriti dari segi ekonomi perlu diteruskan untuk kebaikan semua pihak. Peluang kerja bagi lelaki dan wanita bumiputera juga harus adil supaya mereka dapat memberi kehidupan yang berkualiti kepada keluarga.

- Advertisement -

“Kita juga perlu mengurangkan racial profiling supaya kita mendapat gambaran ekonomi yang lebih jelas dan tepat. Kita tidak boleh secara rambang mengatakan kaum ini kaya, kaum itu miskin kerana sentiasa ada jurang pendapatan dan kekayaan dalam kaum masing-masing. Kita perlu tahu siapa orang itu, bukan apa kaumnya, jika ingin tahu siapa kaya siapa miskin”, ujarnya yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri.

Antara pandangan bernas beliau adalah untuk mengelak dari mempunyai penglibatan keusahawanan akibat dari pasaran gaji yang rendah di mana sepatutnya, negara perlu mewujudkan ramai pekerja kelas menengah. Dengan itu secara tidak langsung akan muncul usahawan yang benar-benar mempunyai kemahiran keusahawan dan kewibaan untuk menjayakan perniagaan, bukan kerana mereka terpaksa menjadi peniaga disebabkan pekerjaan makan gaji yang menawarkan gaji yang rendah.

Chin Tong optimis dengan masa hadapan Malaysia kerana banyak pelaburan global berada di Malaysia dan akan terus berkembang kerana para pelabur tahu Malaysia mempunyai kedudukan logistik yang baik, undang-undang yang adil, tenaga kerja fasih pelbagai bahasa dan berpendidikan.

“Ini merupakan peluang untuk Malaysia membuat lonjakan kedua. Lonjakan pertama telah berjaya dibuat pada awal dekad 1990-an apabila pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan, gaji yang dibayar, dan peningkatan taraf hidup rakyat berada dalam suasana positif”, katanya secara tidak langsung mengakui pemodenan negara berlaku di era 90-an.

Ditambah dengan kestabilan politik yang mula dikecapi kerajaan hari ini, lonjakan ekonomi ke dua pasti akan berlaku menurut Chin Tong.

Chin Tong tidak bimbang terhadap kehadiran Vietnam atau Indonesia sebagai pilihan pelabur kerana kedudukan Malaysia berbeza dengan dua negara membangun itu. Kedudukan Malaysia berada sedikit sahaja di belakang Singapura. Jadi segmen pelaburan adalah berbeza di mana kedudukan Malaysia lebih kepada teknologi dan pekerja mahir berbanding tenaga buruh murah di Indonesia dan Vietnam.

Wawasan ahli parlimen DAP itu boleh digambarkan untuk mewujudkan pekerjaan berkemahiran dan bergaji tinggi di Malaysia. Beliau mahu rakyat negara ini berasa bangga bekerja di negara sendiri dengan mendapat gaji yang berpatutan.

“Kerana itulah kita perlu mewujudkan kelas pertengahan. Jika ekonomi kita gagal menjana pekerjaan yang membayar gaji setimpal, dalam 20 hingga 30 tahun akan datang, kita akan menghadapi krisis sosial yang besar”, katanya.

Beliau mahu semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum akan menikmati kemakmuran dari Transformasi Ekonomi Bumiputera yang baru ini supaya bersama-sama membina sebuah masyarakat kelas pertengahan yang lebih kukuh dan besar di negara ini.

Sumber : LiewChinTong.com

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img