KUALA LUMPUR, 2 Mac — PAS menjauhkan diri daripada kenyataan Presidennya sendiri, Tan Sri Abdul Hadi Awang terhadap raja-raja Melayu baru-baru ini.
Ketua Penerangan parti itu Ahmad Fadhli Shaari berkata, pandangan Hadi Awang tidak mewakili pandangan parti Islam itu dan bersifat peribadi, memetik laporan daripada Sinar Harian.
Ahmad Fadhli tidak mahu memberi komen berkenaan isu itu dan meminta pihak wartawan menghubungi Hadi Awang sendiri.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan bahawa polis telah melancarkan siasatan terhadap Hadi berhubung kenyataannya pada 20 Februari di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pada Isnin lepas, Hadi telah tidak hadir pada perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 ketika Yang di-Pertuan Agong menyampaikan titah sulungnya, kerana cuti sakit yang masih dalam pemulihan dan mempunyai beberapa rawatan susulan di sebuah hospital di Terengganu.