Putrajaya 29 Feb : Tan Sri Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya SPRM menggesa YB Datuk Wan Saiful Wan Jan untuk melakukan laporan di atas dakwaan sogokan rasuah yang diterimanya.
Semalam ahli parlimen Tasek Gelugor itu memaklumkan bahawa beliau didatangi pihak yang menawarkan habuan sebagai tindak balas jika beliau menyatakan sokongan terhadap YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri (PM) Malaysia.
“Sepatutnya dia datang ke SPRM dan buat laporan. Itu sepatutnya kerana di bawah undang-undang seksyen 25, adalah menjadi tanggungjawab semua orang apabila ditawarkan rasuah untuk membuat laporan kepada SPRM ataupun mana-mana balai polis yang terdekat ”, kata Azam Baki apabila ditanya pemberita mengenai dakwaan Wan Saiful di parlimen itu.
Azam Baki juga mengesahkan tiada pegawai SPRM menghubungi ahli parlimen dari Bersatu itu sejurus selepas sessi parlimen semalam.