JAKARTA, 16 Feb — Kemenangan Gibran Rakabuming Raka, beregu kepada calon Presiden yang menang, Probowo Subianto menimbulkan dua tanggapan, positif dan keraguan.
Gibran anak Presiden Indonesia sekarang, Jokowi, berusia 36 tahun itu mungkin akan menjadi Timbalan Presiden Indonesia yang termuda. (VP – Vice President).
Kemenangannya diakui kerana populariti bapanya yang menggemudi Indonesia selama 2 penggal sejak 2014, menikmati kemakmuran, pertumbuhan dan kstabilan di negara 250 juta penduduk itu.
Probowo dikatakan bijak kerana menggunakan Gibran, untuk meraih kesemua pengundi Generasi Z pada pilihanraya yang ditutup 14 Februari lalu.
Namun kemenangan Gibran dituduh sebagai “menyambung dinasti Jokowi” dalam politik Indonesia, sebelum beliau tamat sebagai penggal terakhir Presidensi. Indonesia menghadkan hanya 2 penggal (10 tahun) untuk setiap Presiden memerintah selepas era Suharto.
Gibran seperti anak aristokrat Indonesia, beroleh pelajaran awal di Singapura dan Australia, mencebur diri dalam bisnes katering dan mencipta perniagaan menjual hidangan tradisional Indonesia. Namun dia dikatakan menjadi jutawan pada 2020 kerana pelaburan dan hartanah, kaya melebihi kebanyakkan orang muda di Indonesia.
Gibran pertama kali melangkah ke dalam politik pada 2021, memenangi jawatan datuk bandar Surakarta Jawa Tengah — jawatan lama bapanya. Gibran bertanding mewakili Parti Demokratik Indonesia Perjuangan (PDI-P), parti bapanya tetapi kemudian mengambil keputusan untuk bertanding beregu bersama Prabowo, seorang jeneral yang dituduh melakukan kekejaman di bawah pemerintahan diktator Suharto pada akhir 1990-an lalu.
Gibran dikritik oleh musuhnya kerana kekurangan idea dasar dan cuba menutup kelemahannya dengan merendahkan pihak lawan serta suka menepis soalan dengan jawapan satu perkataan atau jenaka yang “tidak menjadi”.
Gibran digambarkan masih tidak cukup matang dan tidak mampu bercakap soal dasar.
Tetapi di negara yang lebih separuh daripada kira-kira 204 juta pengundi adalah Gen-Z atau milenium, ada yang tertarik dengan idea Gibran mewakili anak muda Indonesia dalam kerajaan. Anak muda Indonesia berharap Gibran mampu membawa aspirasi mereka.
Sama situasa apabila Jokowi naik ke tampuk kuasa pada 2014 lalu, dia berjaya menarik perhatian orang ramai sebagai seorang bukan elit politik dari Jawa dan menunjukkan dirinya rakyat biasa yang sederhana.
Tetapi kini, pengkritik mereka berkata anak – beranak itu bertindak seperti pemimpin terdahulu di negara yang telah lama terkenal dengan politik dinasti dan golongan elit, yang telah meletakkan saudara mara ke jawatan berkuasa untuk mengekalkan pengaruh mereka.
“Saya fikir ia adalah gabungan keinginan peribadinya dan apa yang ibu bapanya mahukan,” kata penganalisis politik Indonesia.
Mengejutkan, adik ipar Jokowi, ketua hakim mahkamah perlembagaan ketika itu, telah mengubah peraturan pada Oktober yang menghalang calon di bawah umur 40 tahun daripada bertanding jawatan tinggi kepada dibenarkan.
Sekiranya Prabowo yang berusia 72 tahun berundur atau tidak dapat menjalankan tugasnya, Gibran boleh menggantikannya.
Pemerhati percaya Gibran berkemungkinan sudah bersedia untuk bertanding jawatan presiden pada 2029.
“Sekali lagi siapa yang anda tahu lebih penting daripada merit seseorang,” kata seorang kakitangan dari kempen presiden, yang tidak mahu namanya disiarkan.
“Ia menunjukkan bahawa nepotisme kembali dengan hebat di Indonesia.”