spot_img
spot_img

KKM : Lokum naik RM80 sejam berkuat kuasa serta merta

spot_img

KUALA LUMPUR: Pegawai perubatan yang diarahkan bertugas selepas waktu pejabat (membuat lokum) di klinik kesihatan kini boleh menuntut Elaun Lokum pada kadar RM80 sejam yang berkuat kuasa serta-merta.

Sebelum ini, kadar bayaran yang diberi adalah sebanyak RM9.16 sejam iaitu lebih rendah berbanding elaun lebih masa pekerja restoran makanan segera sekitar RM10 sejam atau upah pembersih rumah RM20 sejam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu (bayaran elaun) baru sahaja diputuskan, sekali gus menyelesaikan isu yang menjadi perhatian dan menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan pegawai perubatan sebelum ini.

- Advertisement -

Terdahulu, golongan tersebut mengeluh apabila menyifatkan kadar bayaran yang ditetapkan adalah terlalu rendah, tidak berbaloi dengan bebanan tugasan yang dilakukan.

“Sebelum ini, timbul isu tentang bayaran elaun untuk doktor yang membuat lokum menyebabkan kami membuat permohonan untuk meneliti kadar bayaran tugasan tersebut.

“Kami baru sahaja dimaklumkan bahawa sudah dapat kelulusan bagi setiap doktor yang membuat lokum untuk menerima bayaran elaun mengikut berapa jam mereka bertugas.

- Advertisement -

“Mereka akan menerima bayaran sebanyak RM80 sejam dan itu adalah berita baik yang saya hendak sampaikan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan IHH Healthcare Malaysia, di sini semalam.

Selain itu, pegawai perubatan yang diarah bertugas pada hari Sabtu dan Hari Kelepasan Am masih layak menuntut Elaun Lokum, manakala pada hari Ahad membabitkan waktu bekerja mulai pukul 9 pagi hingga 1 petang, doktor yang terlibat boleh menuntut cuti gantian tertakluk kepada kelulusan ketua jabatan.

KKM sebelum ini menerusi kenyataan memaklumkan, pelaksanaan projek rintis pemanjangan waktu operasi klinik berdekatan hospital pada tahun lepas sudah diteliti dan permohonan untuk meneruskan pembayaran elaun lokum masih dalam pertimbangan agensi pusat.

Menurut KKM, projek rintis tersebut dilaksanakan bermula 25 Mac hingga 31 Disember 2023, selepas mengambil kira isu kesesakan di hospital.

“Dalam tempoh ini, pegawai perubatan yang bertugas pada hari Ahad diberi kelulusan khas secara bertempoh dalam projek rintis, bagi membolehkan Elaun Lokum dibayar sekiranya mereka diarahkan bertugas secara lokum.

“Pegawai farmasi dan juru X-ray dalam kumpulan pengurusan dan profesional juga diberi pemanjangan Elaun Lokum pada kadar yang berbeza,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, mengenai majlis berkenaan, KKM bersama IHH Healthcare akan menyediakan rawatan kanser secara percuma di hospital swasta melibatkan 500 pesakit.

Menurut Dr. Dzulkefly, pesakit akan dikenal pasti oleh pakar KKM yang ditetapkan untuk menerima rawatan di tujuh hospital IHH Malaysia yang dilengkapi dengan mesin Gamma Knife
dan Linear Accelerator (LINAC).

“Dengan MoU yang diperbaharui, IHH Malaysia akan menaja rawatan radioterapi dan radiosurgeri bagi tambahan 500 pesakit kanser yang menjalani rawatan di hospital KKM
mulai 1 Mac 2024,” katanya.

Terdahulu, beberapa pakar kesihatan meramalkan penghidap kanser di Malaysia bakal meningkat dua kali ganda menjelang tahun 2040.

Statistik menunjukkan, terdapat kira-kira 48,639 penghidap kanser baharu dan 29,530 kematian akibat kanser dilaporkan pada tahun 2020.

Sementara itu, Dr. Dzulkefly berkata, tiga buah hospital di bawah IHH Healthcare akan terlibat dalam program itu ialah Hospital Pantai, Hospital Gleneagle dan Pusat Perubatan Prince Court.

 

 

Sumber : Utusan 

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img