KUALA LUMPUR – Menantu Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Datuk Muhammad Adlan Berhan perlu kembali ke negara ini untuk berdepan pertuduhan berkaitan kes pecah amanah jenayah.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan, Adlan antara yang dikehendaki tampil ke SPRM bagi tujuan pendakwaan kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.
Lapor Bernama, bagaimanapun, semakan dengan Jabatan Imigresen mendapati Adlan dan seorang lagi individu meninggalkan Malaysia pada 17 dan 21 Mei lepas dan tiada rekod kembali ke negara ini.
Peguam Adlan, Datuk Baljit Singh Sidhu, pada September tahun lepas berkata anak guamnya sedia pulang jika unsur “ancaman dan pendakwaan” terhadapnya tiada lagi.
Baljit berkata, Adlan ketika itu terlibat dalam lawatan perniagaan di luar negara dan sudah memberitahu penyiasat SPRM dia akan pulang selepas selesai tugas.
SPRM mengesahkan beberapa kertas pertuduhan ke atas Adlan yang juga ahli perniagaan itu sudah lengkap.
Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, kertas pertuduhan ke atas menantu kepada bekas Perdana Menteri, itu membabitkan beberapa dakwaan, termasuk jenayah pecah amanah (CBT).
“Sebenarnya siasatan sudah dilengkapkan dan bersedia untuk membuat pertuduhan. Namun, beliau masih gagal dikesan dan belum pulang ke Malaysia.
“Saya tidak ingat berapa pertuduhan yang akan dibuat ke atas beliau, tetapi kalau tak silap ia membabitkan beberapa dakwaan mengenai jenayah CBT,” katanya.