test
spot_img
spot_img

Kekuatan atau kelemahan matawang tidak menunjukkan tahap ekonomi negara

spot_img

Kuala Lumpur 21 Feb : Apabila semua perkara dipolitikkan, akhirnya ia menjadi naratif yang sangat negatif bagi kestabilan negara. Apatah lagi budaya rakyat Malaysia yang tidak gemar membaca dan lebih suka mengikut isu-isu sensasi tanpa usul periksa .

Sesiapa sahaja semasa kerajaan dan pembangkang pernah menggunakan naratif yang sama apabila matawang negara lemah, Ringgit Malaysia (RM) merudum. Semua saling salah – menyalahkan kerajaan semasa yang tidak cekap dan sebagainya.

Sebenarnya, kekuatan ekonomi sesebuah negara itu tidak diukur melalui kekuatan matawang berbanding US Dollar (USD). Sekarang, majoriti rakyat Malaysia menganggap apabila matawang itu kuat berbanding USD maka ekonomi negara itu baik, dan menjadi buruk jika berlaku sebaliknya. Sebenarnya ini bukan penanda aras ekonomi sesebuah negara yang tepat.

- Advertisement -

Jika penanda aras kekuatan matawang berbanding USD digunakan untuk mengukur kekuatan ekonomi, kenapa China, Jepun dan Korea yang mempunyai ekonomi yang mampan serta teguh, matawangnya tidak sekuat USD ? Kenapa Kuwait dan Qatar negara minyak terkaya dunia tidak menjadi kuasa dunia di mana matawang mereka mahal berbanding USD dan sangat bernilai ?

Sebab itu, rakyat perlu faham bahawa prestasi matawang tidak mencerminkan asas ekonomi negara, walaupun sekarang RM bernilai 4.80 berbanding 1 USD, tetapi ekonomi negara berkembang mengikut suku tahun dan dijangka mencecah 4.0% tahun ini.

Kuat atau lemahnya RM adalah kerana faktor luaran dan faktor dalaman juga menyumbang kepadanya. Ia tidak boleh dikawal. Faktor-faktor luaran ini menyebabkan matawang USD dan Singapura kuat pada masa kini. Faktor dalaman pula disumbang oleh tahap kestabilan politik negara.

- Advertisement -

Faktor luaran ialah seperti OPR (overnight policy rate) di Amerika Syarikat yang telah dinaikkan. Di negara itu ia dipanggil FFR (federal fund rate) . Ia menarik ramai pelabur dunia untuk parking wang mereka jika OPR di sesebuah negara itu tinggi. OPR Malaysia sekarang ialah 3% manakala OPR di Amerika Syarikat ialah 5.25% ! Jika anda pelabur, di mana anda ingin gandakan keuntungan anda dengan mudah ? Sudah tentu simpan wang di Amerika Syarikat.

Maka berduyun-duyunlah pelabur dunia masuk ke pasaran AS. Secara tidak langsung matawang USD mempunyai permintaan yang tinggi sekarang. Oleh itu USD menjadi lebih mengukuh kerana permintaan naik.

Oleh kerana kita sudah tahu formula itu, kenapa kerajaan Malaysia tidak lakukan langkah yang sama dengan menaikkan OPR ?

Ia tidak semudah itu kerana untuk pasaran domestik, ia akan menyusahkan rakyat Malaysia yang mempunyai pinjaman-pinjaman di bank di mana kadar faedah pinjaman rumah sebagai contoh, terpaksa juga dinaikkan seiring dengan OPR. Maka bising lagilah rakyat Malaysia dengan menyalahkan kerajaan.

Katakanlah kita buat juga naikkan OPR ke tahap lebih tinggi, tetapi ia tidak juga akan membantu kerana Malaysia bukanlah pilihan utama bagi pelabur antarabangsa untuk parking wang mereka, berbanding Singapura, apatah lagi AS.

AS dikenali sebagai safe – haven matawang bagi pedagang dan pelabur dunia, Singapura pula kuat di rantau sebelah sini. Lebih-lebih lagi sekarang berlakunya banyak konflik dunia seperti di Ukraine-Russia dan Palestine. Suasana tidak menentu ini sudah tentu menyebabkan para pelabur mencari negara yang kuat dan stabil untuk mengalihkan dana mereka.

Bagaimana Malaysia ingin menarik pelabur wahal ekonomi kita yang tidak berskala besar dicampur dengan faktor dalaman seperti keadaan politik yang tidak stabil dengan desas-desus meruntuhkan kerajaan ? Sudah tentu tiada pelabur yang ingin letak wang di negara yang bertukar-tukar kerajaan serta polisinya dengan kerap. Oleh itu Singapura dilihat lebih baik berbanding Malaysia !

Faktor luaran lain yang menyumbang kepada kelemahan matawang negara ialah ekonomi dunia yang semakin perlahan. Sebagai contoh China yang ekonominya kini menguncup, pasaran hartanahnya jatuh teruk hingga gergasi syarikat pembinaan mereka bankrap. Gergasi ini juga telah melabur dengan banyak di negara kita tetapi kini sudah terhenti pelaburan mereka. Atas dasar ini, permintaan ringgit yang lemah, maka RM tidak rancak walaupun ekonomi negara berkembang.

Pasaran masa ini amat memerlukan matawang selamat dan negara ekonomi yang stabil iaitu AS dan Singapura.

Malaysia bernasib baik kerana mempunyai Bank Negara (BNM) yang terbukti mampu melindungi negara dari kesan-kesan ekonomi global. Ia telah terbukti.

Di samping itu, kita sebagai rakyat Malaysia juga boleh memainkan peranan untuk membantu ekonomi negara. Seperti melancong di dalam negara dan membeli barangan buatan Malaysia bagi meningkat permintaan RM dalam pasaran domestik.

Sebenarnya, majoriti rakyat Malaysia tidak perlu bimbang berkenaan tahap RM berbanding USD. Walaupun kita mengkritik atau menyuarakan pendapat, namun adalah lebih penting akan tindak-tanduk kita tidak lagi menyebabkan lebih banyak kemusnahan kepada ekonomi negara.

Rakyat Malaysia perlu faham isu-isu ekonomi dan isu-isu semasa . Perlu rajin membaca dan mengkaji. Jika hanya mengecam semata-mata tanpa memahami sesuatu perkara dengan betul, ia boleh diibaratkan hanya seperti ‘sindir – menyindir’ antara kita sahaja dan menampakkan betapa dangkalnya ilmu serta pengetahuan dalam isu ini.

-Ahmad Faezal-

What’s your Reaction?
+1
1
+1
0
+1
0
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img