KUALA LUMPUR (16 Feb): Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) mengumumka pelaburannya, berjumlah RM100 juta, dalam dua syarikat permulaan tempatan (local start up) dan dua komitmen dana modal teroka (VC – venture capital) di bawah strategi Dana Perintisnya.
Dalam satu kenyataan hari ini, KWAP berkata pelaburan dalam dua syarikat permulaan itu, iaitu Bateriku (M) Sdn Bhd dan Lapasar Sdn Bhd, bertujuan menyokong rancangan pertumbuhan dan pengembangan mereka.
Menurut KWAP, Bateriku ialah penyedia perkhidmatan automotif yang berkembang pesat dengan rangkaian rakan kongsi di seluruh negara, manakala Lapasar ialah pasaran borong dalam talian yang menyasarkan industri barangan pengguna (FMCG) yang bergerak pantas.
Selain itu, dana pencen membuat komitmen kepada dua dana modal teroka, iaitu Vynn Capital dan Antler. Ia menyatakan bahawa Vynn Capital ialah dana tempatan yang mengkhusus dalam pelaburan peringkat benih dengan tumpuan pada sektor mobiliti dan rantaian bekalan, manakala Antler diiktiraf sebagai VC peringkat awal paling aktif di dunia daripada pra-benih (seed fund) kepada Siri A dan seterusnya.
“Antler baru-baru ini memperluaskan program residensi utamanya ke Malaysia, yang direka untuk menyokong pengasas perniagaan agar syarikat mereka dilancarkan dan dibiayai.
“Ini adalah yang pertama dalam portfolio pelaburan dana yang akan disusun rapi untuk menyuntik modal ke dalam bahagian ekosistem tempatan yang paling memerlukannya,” katanya.
Ketua pegawai pelaburan KWAP Hazman Hilmi Sallahuddin melahirkan keyakinan terhadap prospek dan potensi pelaburan dalam empat entiti ini.
“Dengan kemunculan peluang menarik dalam ekosistem permulaan Malaysia, kami berbesar hati untuk mengumumkan pelaburan sulung Dana Perintis. Akan ada lebih banyak pelaburan dan pengumuman akan datang, kerana KWAP meneruskan pelancaran Dana Perintis,” katanya dalam satu kenyataan.
KWAP menyatakan bahawa empat pelaburan itu sejajar dengan enam bidang tumpuan Dana Perintis, termasuk ekonomi digital, rangkuman kewangan, keselamatan makanan, pendidikan, ekonomi perak (silver economy) dan perubahan iklim.
Dana Perintis telah dilancarkan pada September 2023 dengan jumlah penggunaan yang disasarkan sebanyak RM500 juta. Ia bertujuan untuk mempercepatkan pembangunan ekosistem peringkat awal Malaysia sambil menjana pulangan yang kukuh untuk manfaat melalui pelaburan dalam syarikat permulaan dan dana VC.