KUALA LUMPUR, 1 Feb — Parti Islam Malaysia (PAS) hari ini menggesa kerajaan untuk melarang artis yang menyokong komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) daripada membuat persembahan di negara ini, menjelang konsert oleh Ed Sheeran bulan ini.
Dewan ulama PAS (DUPP) berkata membenarkan artis seperti itu membuat persembahan sebelum bulan Ramadan adalah tidak sensitif.
Malah kata DUPP artis itu dikenali sebagai menyokong LGBT di mana budaya itu bertentangan dengan budaya serta ajaran Islam di Malaysia.
DUPP juga menggesa kerajaan selepas ini harus mengenakan syarat yang lebih ketat untuk memastikan tiada unsur LGBT meresap masuk ke dalam negara ini.
“Adakah kita masih tidak sedar tentang tragedi menjijikkan oleh kumpulan pro-LGBT, ‘The 1975’, yang melakukan adegan tidak senonoh di hadapan ribuan penonton selain menghina pendirian negara yang menolak ideologi itu?” soalnya, merujuk kepada kumpulan Inggeris yang menamatkan konsert Good Vibes tahun lalu sebelum waktunya apabila penyanyi utamanya Matt Healy mencium rakan lelaki kumpulan itu dan memaki hamun terhadap kerajaan Malaysia di atas pentas.
Penyanyi dan penulis lagu Britain Ed Sheeran dijadualkan membuat persembahan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Februari. Ini merupakan konsert kedua beliau di Malaysia. Pertama kali diadakan di Stadium Putra di Bukit Jalil pada 2017.
Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mendedahkan permohonan persembahan artis luar negara termasuk Sheeran sudah pun disemak oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sebelum dibenarkan membuat persembahan di sini. Fahmi berkata tiada sebarang perubahan pada kelulusan itu buat masa ini tetapi beliau menegaskan kerajaan akan meneliti perkara itu mengikut garis panduan semasa sekiranya keperluan untuk menyemak semula kelulusan timbul.
Mufti Pulau Pinang semalam telah meminta kerajaan membatalkan permit untuk persembahan yang dijadualkan Ed Sheeran. Mufti Pulau Pinang itu berkata, Ed Sheeran adalah penyokong golongan LGBT yang tidak selari dengan ajaran Islam.
Ed Sheeran telah beberapa kali menyuarakan sokongan kepada golongan LGBT sama ada ketika menang anugerah atau ketika konsertnya.