KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) boleh menerima calon daripada Pas untuk menjadi Perdana Menteri sekiranya Perikatan Nasional (PN) menang pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan datang.
Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai melihat Pas tidak lagi menyentuh perkara-perkara yang membabitkan kaum bukan Melayu dan bukan Islam dan ia merupakan satu perkara yang baik.
Menurut Dr Dominic, pada Muktamar PAS tahun lepas, Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang telah meminta parti Gerakan untuk memberi tumpuan bagi mendapatkan sokongan undi bukan Islam. Baginya ini merupakan suatu petanda yang baik bahawa PAS sudah memahami bahawa negara ini berbilang kaum dan penting untuk menarik undi mereka.
Dr Dominic juga mempunyai makluman bahawa PAS sudah mula membuat pemukiman untuk menjadikan Pas sebagai pilihan yang utama bagi pengundi-pengundi di Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum, berbilang agama dan berbilang budaya.
Halatuju seperti itu mendapat sokongan dari Gerakan, kata Dr Dominic dan akan terbuka untuk menerima PAS sebagai calon Perdana Menteri dari gabungan PN.
Untuk rekod, PAS mempunyai lebih 40 ahli Parlimen menjadikan parti tersebut lebih majoriti dalam PN berbanding gabungan parti-parti lain seperti Bersatu dan Gerakan.
Dalam pada itu, Dominic yakin apa-apa pencalonan daripada PN untuk pelantikan Perdana Menteri akan dibincang bersama pimpinan Majlis Tertinggi supaya calon tersebut merupakan calon yang terbaik untuk mengemudi negara.