spot_img
spot_img

Agong yang paling ‘rapat’ dengan rakyat Malaysia

spot_img

Kuala Lumpur 31 Januari : ‘Keakraban’ atau rasa dekat Yang di Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dengan rakyat Malaysia tidak dapat dinafikan.

Banyak perkara yang terlibat secara langsung antara kepentingan rakyat dan negara, terjadi di bawah pemerintahan baginda. Antaranya ialah wabak Covid19, tiga Perdana Menteri selepas PRU14, idea mewujudkan kerajaan perpaduan selepas menemui titik buntu membentuk kerajaan dan pertama kali Agong melakukan jelajah ke Borneo di mana sambutannya amat dirasai oleh seluruh rakyat negara ini.

- Advertisement -

Di samping sikap semulajadi ‘ayah dan keibuan’ baginda berdua seperti suka memasak bersama rakyat dan beramah mesra dengan rakyat tanpa begitu banyak protokolnya.

(Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah sememangnya pakar memasak dan suka memasak bersama rakyat, lebih-lebih lahi ketika bencana seperti banjir berlaku)

- Advertisement -

Agong dan Raja Permaisuri sememangnya kelihatan semulajadi humble, bukannya dibuat-buat.

Dibantu pula zaman sekarang yang semuanya ditayangkan di sosial media, maka rakyat dapat mengikut rapat aktiviti-aktiviti istana secara tidak langsung.

Tidak hairanlah suasana hiba menyelubungi acara keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong kembali ke Pahang dan menandakan tamatnya pemerintahan baginda.

Semua yang hadir tidak dapat menyembunyikan perasaan sebak sepanjang upacara berlangsung, dari rakyat biasa hinggalah ke Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

(Perdana Menteri tidak dapat menahan sebak apabila bersama di upacara keberangkatan pulang Sultan Abdullah ke Pahang)

Sultan Pahang yang baru menaiki takhta selama 15 hari sahaja sebelum terus dilantik sebagai Yang Dipertuan Agong yang ke 16 pada 2019 juga turut terharu. Di dalam ucapannya hingga mengalirkan air mata mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh rakyat dan sentiasa memberi nasihat supaya menjaga perpaduan negara. Hari ini secara jenaka, baginda merasa seperti Pengantin Baru apabila disambut dan diarak pulang sepanjang jalan hingga ke lapangan terbang.

“Ketika saya dan Permaisuri berada dalam kereta, tengok ramai sangat orang menunggu, Permaisuri flashback balik kepada saya, dia kata macam kita kahwin dulu, tahun 1986. Alhamdulillah dan saya pun rasa macam pengantin juga hari ini. Pengantin tua,” titah baginda.

Apabila tiba di Pahang, baginda terharu melihat rakyat jelata menunggu walaupun panas. Baginda berharap rakyat Pahang berasa bangga kepadanya kerana telah berjaya melunaskan tanggungjawab, amanah, yang terbaik untuk Malaysia dan rakyat negara ini.

Sultan Abdullah pernah bertitah bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri yang terakhir ditabal di bawah pemerintahannya. Anwar nampak begitu hiba apabila menghantar baginda ke pesawat. Manakan tidak, baginda adalah pencetus kerajaan perpaduan dan sering mempertahankan keutuhan kerajaan sekarang demi kestabilan politik dan kemakmuran negara. Secara tidak langsung memberikan kelebihan kepada pentadbiran Anwar Ibrahim dalam menggemudi negara serta melawan pihak pembangkang yang cuba menumbangkan kerajaan perpaduan.

“Kewibawaan Yang di-Pertuan Agong,  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyelesaikan dan merungkai kemelut politik serta menggagaskan Kerajaan Perpaduan telah membawa kestabilan kepada negara ini”, Anwar dipetik sebagai berkata.

Akan termaktub di dalam sejarah negara bahawa baginda adalah Agong yang berjaya mengharungi ketidakstabilan politik pertama kali sejak kemerdekaan negara. Tiga Perdana Menteri pasca PRU14 dan seorang Perdana Menteri kerajaan perpaduan, Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah keputusan PRU15 tidak membolehkan mana-mana gabungan politik dapat membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Di dalam wawancara bersama Utusan Malaysia, baginda bertitah bahawa dirinya kini mengenali corak pentadbiran setiap Perdana Menteri yang pernah berkhidmat di bawahnya.

Menurut baginda, pentadbiran Anwar kini memfokuskan ke arah subsidi bersasar untuk mengurangkan perbelan­jaan kerajaan di sam­ping me­nyelesaikan masalah yang ditinggalkan kerajaan terdahulu serta menghapuskan ketirisan dalam kerajaan.

Tun Dr. Mahathir pula menurut baginda, pada setiap kali pertemuan, sering memberitahu bahawa kerajaan menghadapi kekangan kewangan. Maka tiada perbelanjaan besar dan projek-projek mega terpaksa dibatalkan. Pada ketika itu, baginda hanya turut bersetuju kerana baginda masih baru dan belum mempunyai pengalaman.

Selepas Tun Dr Mahathir meletak jawatan walaupun dinasihati baginda supaya jangan lepaskan jawatan Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengambil alih. Tambah baginda “…dan saya dapati ceritanya lain pula. Ada duit untuk belanja itu, belanja ini. Saya tidak tahu siapa benar, siapa tidak benar, itu Allahu Alam”, titah baginda dalam wawancara itu.

Sewaktu pentadbiran Muhyiddin Yassin, baginda juga tanpa berselindung meluahkan kekecewaannya akan perbelanjaan kerajaan ketika itu untuk tangani wabak Covid-19, hingga baginda terpaksa menandatangani Deklarasi Darurat.

“Kemudian Datuk Seri Ismail Sabri, belanjawan begitu juga. Ini semua menggambarkan seolah-olah keadaan kewangan fiskal polisi kerajaan begitu bukan tak begitu baik, tapi oklah,” titah baginda.

Selain itu baginda percaya akan hubungan dua hala antara kerajaan persekutuan dengan Yang Dipertuan Agong . Kedua-dua pihak boleh saling tegur-menegur demi untuk kebaikan negara.

”Konsep kerjasama seperti ini harus diteruskan oleh bakal-bakal Yang di-Pertuan Agong akan datang kerana ia merupakan satu konvensyen antara Ketua Negara dan Ketua Kerajaan supaya segala urus tadbir negara boleh diselesaikan melalui musyawarah antara ke­dua-dua pihak”, titah baginda.

Yang DiPertuan Agong ke 17 adalah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang akan dimasyhurkan bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah pada hari ini. Manakala Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh tempoh lima tahun bermula tarikh yang sama.

Di akhir wawancara, Sultan Abdullah bertitah dan mengingatkan rakyat Malaysia bahawa ketidakstabilan politik yang menyaksikan pertukaran tiga Perdana Menteri dalam tempoh satu penggal tidak akan mendatangkan sebarang manfaat kepada negara, malah menjejaskan peluang pelaburan sekali gus menyebabkan tanah air ketinggalan berbanding negara jiran lain.

Justeru, baginda mengajak ahli-ahli politik agar move on ekoran spekulasi langkah-langkah tertentu dengan menggesa mereka tidak terlalu berpolitik dan memfokuskan kepada pembangunan dan memajukan ekonomi negara.

Baginda bertitah tidak mungkin dalam satu tahun Perdana Menteri dapat melakukan sesuatu dengan kadar segera, oleh itu ia memerlukan masa untuk mentadbir dan memperbetulkan banyak perkara. Menurut pengamatan baginda, apabila bertukar pentadbiran, banyak polisi dan semuanya akan kerap bertukar, bermula dari peringkat atasan hinggalah ke bawah. Ini sekaligus membantukan perancangan serta kemajuan pentadbiran.

“Mungkin ada sebilangan kecil yang tidak bersetuju dengan pelbagai keputusan yang saya buat namun majoritinya bersama dengan keputusan yang saya buat,” titah baginda yang akan terpahat di dalam sejarah sebagai Yang Dipertuan Agong terbaik pernah dinikmati oleh rakyat Malaysia, sama ada di waktu duka atau suka.

Daulat Tuanku ! Semoga Allah merahmati bumi Malaysia.

 

Berita Tular menjunjung sistem demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan di Malaysia sebagai check & balance untuk kemakmuran negara

 

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img