PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperluas pelan bayaran secara dalam talian (PBTPay) kepada 102 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Semenanjung dalam usaha mencapai kutipan keseluruhan berjumlah RM1 bilion pada tahun ini.
Menterinya, Nga Kor Ming, berkata setakat ini KPKT melakar kejayaan apabila berjaya mengutip RM600 juta pembayaran cukai dan kompaun melalui PBTPay sejak diperkenalkan pada 2021.
Beliau berkata, PBTPay memudahkan urusan pembayaran cukai taksiran pelanggan kepada PBT dan membuat semakan hanya menggunakan telefon pintar, tanpa perlu hadir ke kaunter bayaran.
Katanya, pelaksanaan PBTPay ini adalah transformasi digital yang akan terus diperkasakan dan kementerian juga dalam proses mewujudkan satu aplikasi membabitkan semua perkhidmatan yang terdapat dalam KPKT pada masa depan.
Yang turut hadir, Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu dan Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib.
Platform PBTPay diperkenalkan sebagai suatu pendekatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani penularan COVID-19.
Pada tahun lalu, KPKT berjaya memenangi tempat pertama (Trek Ekonomi) bagi Anugerah Inovasi Sektor Awam (AinSA) melalui projek PBTPay.
Kor Ming berkata, PBTPay ini tidak membabitkan Sabah dan Sarawak kerana mereka mempunyai ordinan sendiri, namun KPKT akan mempertingkat usaha bagi menggalakkan dua negeri ini menggunakan platform berkenaan.
Katanya, ketika ini terdapat 155 PBT termasuk di Sabah dan Sarawak dan berharap semua PBT dapat melaksanakan platform diperkenalkan ini.
“Bagaimanapun kita akan berbincang dengan Kerajaan Sabah dan Sarawak supaya menggunakan aplikasi ini bagi memudahkan rakyat,” katanya.
Sementara itu, ketika berucap, Kor Ming berkata, pihaknya berhasrat menjadikan KPKT dan kakitangannya sebagai contoh kepada kementerian lain berdasarkan 15 anugerah yang berjaya dicapai di dalam dan luar negara pada 2023.
Beliau berkata, pada tahun ini KPKT menyasarkan enam inisiatif bagi Kerangka Strategik Malaysia MADANI pada sesi Pemukiman Jemaah Menteri Bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
“Inisiatif itu adalah penyediaan Rumah Mampu Milik (RMM), meningkatkan Program Penyelenggaraan Perumahan Berstrata, pelaksanaan penarafan Bandar Pintar Malaysia, Pelaksanaan Operasi Pembasmian Berterusan Tapak Pelupusan Sampah Haram, Pelaksanaan Blueprint Ekonomi Kitaran dan Penambahbaikan Penyampaian Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di PBT,” katanya.
Sumber : Berita Harian