KUALA LUMPUR, 30 Jan — Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg hari ini berkata kerajaan negeri semakin hampir untuk memuktamadkan rundingan dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berhubung penambahan pegangannya dalam Affin Bank Berhad.
Kerajaan negeri Sarawak memegang 4.796 peratus kepentingan dalam Affin Bank melalui cabang pelaburannya, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, yang diperoleh pada harga RM1.97 sesaham atau sejumlah RM221.74 juta pada April 2023.
“Muktamad, tidak lama lagi,” katanya merujuk akan perkara itu, selepas menghadiri Sesi Tinjauan Pasaran Malaysia 2024 anjuran Kumpulan Affin di Menara Affin, Tun Razak Exchange di sini, hari ini.
Beliau berkata bahawa pemerolehan kepentingan Affin Bank berakar umbi dalam landskap perbankan bersejarah Sarawak.
Beliau mengimbas kembali bagaimana enam bank berasal dari Sarawak pada masa lalu, termasuk Bank Utama dan Wah Tat Bank.
“Apabila ada dasar kerajaan persekutuan untuk menggabungkan semua bank ini, bank-bank kita semua telah ditelan oleh bank-bank besar, jika saya boleh menggunakan perkataan ‘tertelan’.
“Kami merasakan kami memerlukan bank untuk meningkatkan perusahaan kecil dan sederhana kami dan juga aktiviti perniagaan di Sarawak,” katanya ketika ditanya mengapa Sarawak melihat untuk memiliki pegangan dalam bank sedangkan negeri lain tidak.
Beliau menyatakan minat negeri dalam Affin Bank, dengan menyatakan, “Sudah tentu, kami sedang melihat Affin. Perbincangagn kami lebih konklusif dengan LTAT.”
Awal bulan ini, beberapa media melaporkan minat Sarawak untuk memperoleh tambahan 15 peratus kepentingan dalam Affin Bank daripada LTAT.
LTAT memegang 29.7 peratus kepentingan langsung, manakala unit milik penuhnya, Boustead Holdings Bhd, memegang 20.65 peratus.
Sementara itu, beliau turut menyatakan wawasan bercita-cita tinggi negeri itu untuk menjadi Bavaria Malaysia, mendapat inspirasi daripada negara Jerman yang makmur itu.
Menekankan kesalinghubungan kejayaan Sarawak dengan kemakmuran Malaysia, beliau menekankan kelebihan perbandingan yang berbeza di rantau ini, khususnya dalam bidang tenaga.
Sambil mengakui kekurangan tenaga yang dihadapi oleh Semenanjung Malaysia, beliau menekankan ini sebagai kelebihan strategik untuk Sarawak.
“Kami membahagikan tenaga kami, dan akhirnya, seluruh negara akan mendapat manfaat.
“Itulah sebabnya saya bercakap tentang Bavaria. Jika tarif anda menarik, maka pelabur akan datang.
“Apabila anda mendapat banyak pelaburan maka ia akan memusatkan Ringgit Malaysia kita kerana Ringgit adalah berdasarkan penawaran dan permintaan,” katanya, menggariskan potensi kesan positif ke atas landskap ekonomi keseluruhan Malaysia.
Apabila ditanya wartawan berkenaan isu pencen penjawat awam, beliau enggan mengulas kerana itu akan menyentuh polisi kerajaan persekutuan.
Bagaimanapun, beliau berkata inisiatif kerajaan Sarawak yang dikenali sebagai JBC (Joint Benefits Contribution) telah pun disediakan untuk semua pegawai perkhidmatan awam baharu di Sarawak.
“Sebenarnya satu sudah wujud dalam kerajaan negeri kita. Kami memanggilnya JBC untuk semua pegawai baharu kami yang mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya.
Tambahnya lagi, JBC beroperasi sama seperti KWSP, satu skim simpanan nasional di Malaysia. Beliau juga menekankan bahawa perbezaan asas terletak pada disiplin, kerana kadangkala individu memilih untuk mengeluarkan keseluruhan simpanan KWSP mereka.
“Tiada perbezaan antara KWSP dan pencen. Cuma satu, kadang-kadang, KWSP, kalau kita tak disiplin, kita keluarkan semua KWSP”, katanya.
Beliau juga memberi contoh sistem pencen di Norway, di mana pematuhan berdisiplin kepada peraturan memastikan penerima dana pencen menerima keseluruhan simpanan mereka di hari tua.