Putrajaya : Dijangka semakin ramai ahli parlimen dari Perikatan Nasional (PN) khususnya dari parti Bersatu akan memberi sokongan kepada kerajaan perpaduan menurut bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.
“Maybe (mungkin) tak semua, tapi semakin ramai”, katanya yang menyasarkan masalah peruntukan adalah penyebab utama peralihan sokongan itu.
Beliau juga berkata bahawa itu adalah suatu petanda dan tamparan kepada kepimpinan Bersatu kerana berbanding rakan komponen PN iaitu PAS, parti Islam itu tidak menghadapi masalah akan peralihan sokongan ahli-ahli parlimen mereka.
“Perkara ini kita ketahui dari dahulu lagi sama ada kita suka atau tidak dengan PAS, disiplin dan kepercayaan pegangan (wala’) ahli-ahli mereka kepada parti itu strong (kuat)”, ujar Shahril.
Namun Khairi Jamaluddin meragui akan wala’ PAS itu semata-mata atas faktor kesetiaan, kerana faktor disiplin ahli PAS mungkin sedikit sebanyak juga disumbangkan oleh kedudukan parti mereka yang kukuh dengan memerintah beberapa negeri. Jadi mereka tidak timbul isu peruntukan kepada ahli-ahli parlimen PAS.
Untuk rekod PAS hari ini memimpin Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah manakala rakan komponennya Bersatu dan Gerakan tidak mempunyai negeri pemerintahan.
Pandangan Shahril dan Khairi itu dirakam dalam rancangan wawancara Keluar Sekejap baru-baru ini.
Shahril juga menambah bahawa kepimpinan atasan Bersatu tidak mampu menekankan disiplin, tidak mampu memberi inspirasi perjuangan kepada ahli-ahlinya untuk kekal dengan perjuangan parti itu.
“..itu tidak mencerminkan kepimpinan yang super cemerlang lah dalam hal ini”, katanya.