PETALING JAYA : Beberapa kenderaan mewah milik Bekas setiausaha politik bekas menteri dan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai hasil meminta dan menerima suapan daripada beberapa syarikat yang mendapat tender di sebuah kementerian.
Kesemua kenderaan yang disita terdiri Rolls Royce Ghost V12 Ewb, Mercedes-Benz G63 Amg Brabus, Range Rover Autobiography, Porche Cayenne, Toyota Land Cruiser, Mini Cooper Works Rhd, Toyota Alphard dan Vellfire serta Mercedes-Benz S400L.
Satu sumber mendedahkan, kesemua kenderaan mewah itu kini disimpan di Gudang Sita SPRM.
“Dipercayai kenderaan kenderaan mewah itu adalah hasil dari sumber rasuah yang diperoleh oleh suspek bersangkutan dengan tender di kementerian terbabit,” katanya di sini.
Sumber itu berkata, mereka dipercayai menerima suapan daripada syarikat serta kontraktor yang mendapat tender kerja di sebuah kementerian sekitar 2020 hingga 2021 bernilai jutaan ringgit.
“Sepanjang tempoh siasatan, SPRM menyita dan merampas beberapa buah kenderaan mewah yang dimiliki oleh suspek,” jelasnya.
Dalam pada itu, tempoh tahanan reman kedua-dua suspek disambung tiga hari lagi bermula esok hingga 30 Januari ini.
Perintah reman selama tiga hari bermula esok hingga 30 Januari ini terhadap kedua-dua suspek yang berusia sekitar 40-an dikeluarkan Majistret Ain Nurshahira Sahzan selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
“Sebelum ini, kedua-dua suspek itu direman selama empat hari bermula 24 Januari lalu bagi membantu siasatan terhadap kes berkenaan,”ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan reman lanjut terhadap dua suspek berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009,” katanya.
Sumber – UTUSAN