PUCHONG, 26 Jan — Ahli parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal hari ini mendakwa 10 lagi ahli parlimen pembangkang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengisytiharkan sokongan mereka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia dijangka akan diisytiharkan sebelum pembukaan sidang Parlimen akan datang pada 26 Februari ini. Ia akan melibatkan ahli parlimen Bersatu dari Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor dan Melaka.
Faktor utama mereka menyokong Perdana Menteri ialah ahli-ahli parlimen Bersatu berasa amat kecewa dan tidak dihargai serta tidak dipedulikan parti kerana sehingga hari ini Bersatu tidak mempunyai hala tuju yang jelas, tambah beliau.
”Tidak pernah ada (memanggil) mesyuarat dan mengambil tahu hal-hal ahli”, tegas ahli parlimen itu.
Beliau berkata masalah kewangan menjadi faktor utama kerana setiap ahli parlimen telah dijanjikan bantuan oleh parti untuk menjaga kepentingan pengundi mereka, tetapi selepas lebih setahun, tiada bantuan diberikan oleh Bersatu.
Sementara itu, Syed Abu Hussin Hafiz menyeru ahli parlimen Bersatu supaya segera memberikan sokongan kepada Anwar agar rancangan pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan dapat dilaksanakan di kawasan mereka.
Setakat ini, Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Anwar ialah Syed Abu Hussin Hafiz, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar). dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Sumber — Bernama