KUALA LUMPUR, 20 Jan — Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu rumah seorang ahli perniagaan bergelar “Tan Sri” lewat malam tadi berkenaan siasatan kontrak pembekalan dan pengurusan kenderaan kerajaan, menurut laporan Utusan Malaysia.
SPRM turut menyerbu empat syarikat yang terlibat dalam kontrak yang dikatakan bernilai lebih RM4 bilion, termasuk tiga firma pelaburan yang dikaitkan dengan hartawan itu yang merupakan pemegang saham utama syarikat yang membekalkan kenderaan kepada kerajaan.
Menurut sumber, lebih 100 akaun peribadi dan syarikat di bawah kawalan ahli perniagaan itu turut dirampas malam tadi untuk tindakan lanjut, tetapi tidak dibekukan.
Pada 2018, kontrak Spanco Sdn Bhd yang membekalkan armada kenderaan kepada kerajaan telah tamat, mencetuskan persaingan untuk kontrak baharu yang amat menguntungkan.
Pada Ogos 2019, tujuh syarikat membida kontrak yang akan berlangsung selama 15 tahun, melibatkan kira-kira 12,500 kenderaan, dan dikatakan bernilai dianggarkan RM300 juta setiap tahun bermula selepas tahun kelima.
Spanco telah diberi lanjutan untuk menguruskan armada kenderaan kerajaan pada ketika itu dan akhirnya menyertai persaingan bidaan.
Sebuah firma usaha sama antara Berjaya Corporation Bhd dan Naza Corporation Holdings Sdn Bhd akhirnya memenangi bidaan itu, sebelum surat hasrat itu ditarik balik pada 2020 semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kontrak diberikan kepada Spanco sekali lagi.
Berjaya dan Naza kini menyaman kerajaan berhubung kontrak yang dibatalkan itu.