BUTTERWORTH, 16 Jan — Penggubalan Akta Parlimen Tempoh Tetap (FTPA – Fixed Terms Parliment Act) boleh mengurangkan masalah dan isu politik jika berjaya dilaksanakan, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook.
“Kami bersetuju (jika FTPA diwujudkan) kerana ia baik pada dasarnya dan boleh mengurangkan masalah atau isu politik semasa penggal parlimen.
“Bagaimanapun, ia mesti dilihat dari segi pelaksanaannya,” katanya pada sidang media ketika ditanya mengenai pandangan DAP berhubung penggubalan FTPA di sini hari ini.
Beliau berkata sistem parlimen ini yang telah dilaksanakan di United Kingdom semasa FTPA diwujudkan bermakna parlimen tidak boleh sewenang-wenangnya dibubarkan oleh Perdana Menteri dalam tempoh lima tahun dan perlu dibawa ke Dewan Negara untuk diputuskan oleh Ahli-ahli Dewan Negara.
Bagaimanapun, Loke berkata beliau yakin Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, yang sedang mengkaji perkara itu, akan membawa cadangan itu kepada Kabinet.