PUTRAJAYA: Isteri Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid mendakwa bekas Menteri Kewangan itu yang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi mangsa penganiayaan musuh politik beliau.
Bercakap menerusi sidang akhbar sebelum masuk ke Ibu Pejabat S{RM bagi memberi keterangan membantu siasatan suruhanjaya itu, Nai’mah mendakwa kejayaan dikecapi Daim dalam perniagaan kini dijadikan alasan untuk memfitnah nama baik dan menggambarkannya sebagai seorang perasuah.
Menurutnya, umum mengetahui Daim merupakan ahli perniagaan yang sangat berjaya sebelum menyertai kerajaan pada 1984.
Malah katanya, media secara meluas merujuk Daim sebagai hartawan dan jutawan sebelum memegang jawatan awam 40 tahun lalu.
“Sebagai sebuah negara yang bebas dan mengamalkan demokrasi, tidak menjadi kesalahan untuk berjaya dalam bidang perniagaan dan industri sehingga mengecap kekayaan. Malah, ia menguntungkan negara melalui pembangunan membina ekonomi dan peluang pekerjaan.
“Kini, sebuah kempen memutar belit maklumat dan persepsi dijalankan bagi memberi gambaran bahawa beliau seorang yang korup semata-mata kerana sangat kaya. la sesuatu yang tidak munasabah dan tidak masuk akal, malah tiada ahli perniagaan yang berjaya di negara ini akan terlepas daripada tuduhan sedemikian. Di lapangan awam, dakwaan seperti ini tidak mudah hilang begitu sahaja,” katanya.
Dakwanya lagi, jawatan Perdana Menteri tidak seharusnya digunakan untuk mencemar nama baik individu melalui sindiran dan tuduhan kononnya mengenai salah laku, ataupun digunakan untuk menyelesaikan pertelingkahan politik lampau.
“Inilah yang dilakukan oleh Perdana Menteri yang beberapa kali kebelakangan ini mendakwa suami saya memiliki kekayaan haram, tanpa memberikan sedikit pun bukti.
“Adakah Perdana Menteri mencadangkan ahli perniagaan Melayu yang berusaha keras dan berkebolehan tidak boleh menjadi kaya tanpa menggunakan jalan tidak sah atau haram? Ini hanya menguatkan tanggapan stereotaip palsu mengenai keupayaan orang Melayu,” katanya.
Tambahnya, walaupun Perdana Menteri tidak menyukai Daim, tetapi beliau seharusya menghormati prinsip seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan salah oleh mahkamah.
Nai’mah berkata, biarpun memberikan kerjasama kepada SPRM seperti yang dikehendaki undang-undang, beliau tetap mempersoalkan motif siasatan tersebut.
“Kami tahu kami akhirnya akan dibuktikan tidak bersalah,” katanya.
Turut hadir untuk proses soal siasat oleh SPRM adalah dua anak lelaki Daim iaitu, Muhammed Amir Zainuddin Daim dan Muhammed Amin Zainuddin Daim.
Sumber – UTUSAN