KUALA LUMPUR: PAS mengucapkan selamat Hari Krismas kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Kristian dan berharap sambutan tahun ini berjalan dengan suasana harmoni.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata PAS sentiasa terbuka dalam meraikan kepelbagaian kerana itu adalah teras ajaran Islam yang menerima realiti bahawa manusia terdiri daripada pelbagai bangsa.
(Datuk Seri Takiyuddin Hassan)
Katanya, kepelbagaian itu adalah ciri istimewa dalam masyarakat di negara yang meliputi kelompok ras, budaya mahupun agama secara sah dan terhormat.
“Kepelbagaian perayaan serta acara sambutan, sama ada berasaskan agama atau budaya, yang berjalan secara harmoni dan meriah dalam kalangan pelbagai kelompok rakyat di negara ini adalah manifestasi keunggulan sikap lunak, bertoleransi dan saling menghormati sesama kita yang kukuh terjalin sejak sekian lama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan itu lagi, hubungan antara kaum yang harmoni sejak sekian lama di negara ini menunjukkan tahap keunggulan sikap toleransi dan saling menghormati sesama kaum. Hubungan ini perlu dipertahankan daripada kecenderungan untuk melemahkan keunggulan sikap berkenaan.
PAS mahu sikap itu terus disuburkan atas kesedaran bahawa kepelbagaian yang wujud adalah khazanah berharga masyarakat Malaysia yang menambah nilai kepada mutu kehidupan bersama rakyat.