KUALA LUMPUR: Halal Development Corporation Bhd (HDC) hari ini mengumumkan kerjasama strategik dengan Solv Sdn Bhd (Solv Malaysia) untuk memudahkan peluang bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengakses dana halal bernilai RM2.67 bilion melalui platform bersepadu halal.
Dalam satu kenyataan, HDC berkata kerjasama itu bertujuan meluaskan dan menyenangkan akses kepada pembiayaan, sekali gus memudahkan pertumbuhan perniagaan dalam ekonomi halal yang sedang pesat berkembang.
Ketua Pegawai Eksekutif HDC Hairol Ariffein Sahari berkata kerjasama dengan Solv Malaysia adalah bukti komitmen agensi itu untuk menyediakan sokongan padu untuk perniagaan yang ingin mengakses kemudahan pembiayaan halal yang disediakan oleh bank.
“Di HDC, kami mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh PMKS dalam pembangunan ekonomi halal. Kami sedang mencari cara yang praktikal untuk menyediakan kemudahan akses kepada kemudahan pembiayaan yang disediakan oleh institusi kewangan,” katanya.
Menurut HDC, asas kerjasama ini ialah program pembiayaan rantaian bekalan perniagaan ke perniagaan yang direka untuk mempercepatkan pertumbuhan PKS.
Antara objektif utama kerjasama ini termasuk kemajuan digital dalam pra-kelayakan PKS untuk gandingan optimum dengan institusi kewangan dan pemberi pinjaman alternatif yang sesuai.
“Kerjasama inovatif ini bukan sahaja memperkemas proses pembiayaan tetapi juga memberi tumpuan kepada membentuk tingkah laku yang boleh dipercayai dan memperkasakan PKS untuk membina profil kredit yang berdaya tahan.
“Melalui pendekatan digital, kerjasama itu meningkatkan keseluruhan perjalanan pelanggan, memudahkan pembiayaan yang lebih cepat dan cekap untuk PKS berdasarkan merit mereka, sekali gus menggalakkan kebebasan kewangan dan kemampanan jangka panjang,” tambahnya.
Solv Malaysia, yang diinkubasi oleh unit perniagaan Standard Chartered SC Ventures, ialah penyedia penyelesaian kewangan yang inovatif untuk PKS di Malaysia.
Sumber – Bernama